Sambutan Krismas: Polis sahkan ambil keterangan Kor Ming

IPOH - Polis Perak mengesahkan telah mengambil keterangan Nga Kor Ming berhubung sambutan Krismas yang diadakan di Pejabat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Putrajaya.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, keterangan Naib Pengerusi DAP itu diambil pada 3 Januari lalu susulan laporan polis dibuat sebuah parti di sini.
Menurutnya, sesi rakam keterangan itu bermula sekitar jam 11 pagi dan mengambil masa sekitar 30 minit sahaja.
"Pihak polis hadir berjumpa dengan YB (Yang Berhormat) Nga Kor Ming selama kurang dari 30 minit bertanyakan tujuan program tersebut sahaja," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.
Pada 1 Januari lalu, Pemuda Pas menerusi halaman Facebook memaklumkan sebanyak 69 laporan polis telah dibuat terhadap Kor Ming berhubung sambutan Krismas secara terbuka di premis kementerian berkenaan yang didakwa turut membabitkan kakitangan beragama Islam.
Selain Pas, laporan polis turut dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi lain.
Dalam sidang media sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menegaskan bahawa KPKT menjulang prinsip meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan dan keistimewaan masyarakat negara ini.
Menurutnya, sejak memegang jawatan menteri, kementeriannya meraikan semua perayaan bermula Tahun Baru Cina diikuti Aidilfitri, Deepavali dan seterusnya sambutan Krismas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!