Jabatan Air Sandakan potong 11 sambungan haram

No Image Caption
A
A
A

SANDAKAN - Operasi Jabatan Air Bahagian Sandakan bagi menyiasat kebocoran paip di Jalan Batu Sapi berdekatan Kampung Bakau semalam membawa kepada penemuan 11 penyambungan haram air di kawasan Batu Sapi di sini.

Menurut Jurutera Air Bahagian Sandakan, Ishar Hamka Ismail, operasi itu diadakan dari pukul 2 petang hingga 4.30 petang semalam di kawasan sekitar dan menemui beberapa penyambungan haram di kawasan berdekatan.

Beliau berkata tiga sambungan haram (daripada 11 sambungan haram) dikesan disambung secara terus daripada paip simen keluli lembut (MSCL) bersaiz 200 mm berdekatan Kampung Bakau dan lapan lagi di lokasi sepanjang jalan Batu Sapi berhampiran Kampung Sundang.

“Tindakan pemotongan sambungan haram tersebut telah diambil oleh pihak Jabatan Air dengan bantuan kontraktor dilantik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ishar berkata kesalahan penyambungan haram itu boleh didakwa mengikut Seksyen 49 (b) Enakmen Bekalan Air Negeri Sabah 2003, yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.

Dalam operasi itu, beliau berkata Jabatan Air turut menyita beberapa barangan yang digunakan untuk membuat penyambungan haram berkenaan, antaranya beberapa gulung paip jenis poly bersaiz setengah inci dan satu inci.- Bernama

Artikel Berkaitan: