600 pemenang dirai sempena Anugerah Kelestarian GPM 2024

Ketua Pegawai Eksekutif Antah Healthcare Group, Tunku Datuk Mohamed Alaudin Tunku Naquiyuddin (tengah) bergambar bersama penerima anugerah pada majlis Malaysia GPM Sustainability Award 2024 yang diadakan pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB.
Ketua Pegawai Eksekutif Antah Healthcare Group, Tunku Datuk Mohamed Alaudin Tunku Naquiyuddin (tengah) bergambar bersama penerima anugerah pada majlis Malaysia GPM Sustainability Award 2024 yang diadakan pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 600 pemenang pelbagai kategori dirai berikutan berjaya membangunkan projek khas bertemakan kemampanan sempena Anugerah Kelestarian Pengurusan Projek Hijau (GPM) Malaysia 2024.

Presiden Persatuan Rangkaian Perniagaan Mampan Malaysia (SustNET), Jamaludin Hussain berkata, penganjuran tahun keenam itu dilaksanakan sebagai bukti komitmen berterusan pihaknya memacu perubahan positif dalam konteks kemampanan kepada masyarakat dan negara.

Menurut beliau, kemampanan bukan sekadar usaha bersendirian, tetapi ia misi yang perlu dilakukan bersama-sama hasil kepimpinan, inovasi dan kerjasama tidak kira industri, sekolah mahupun institusi pendidikan tinggi (IPT).

Jelasnya, kesemua penerima sijil anugerah telah menonjolkan kecemerlangan melalui projek khas mewakili organisasi masing-masing.

“Seramai 1,500 pelajar dan tenaga pengajar dari sekolah rendah, menengah mahupun IPT menyertai program ini bagi membangunkan kemahiran berfikir secara kritis, menyampaikan kesedaran tentang alam sekitar serta menyahut seruan kelestarian.

“Bukan itu sahaja, lebih 500 pengusaha sektor kecil dan sederhana (SME) mengamalkan prinsip kemampanan dalam usaha mengurangkan impak kepada alam sekitar serta meningkatkan daya tahan ekonomi.

“SustNET akan sentiasa memainkan peranan penting dalam membawa arus positif kepada semua di samping mengintegrasikan Kerangka 5P iaitu ‘product’, ‘process’, ‘people’, ‘planet’, dan ‘prosperity’ dalam amalan kemampanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Anugerah GPM Malaysia 2024 yang bertempat di Dewan Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, CEO Kumpulan Antah Healthcare, Tunku Datuk Mohamed Alauddin Tunku Naquiyuddin; Pengerusi Anugerah Kelestarian GPM 2024, Ir Ts Hisham Yahaya; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC), Ts Shamsul Bahar Mohd Nor; Setiausaha Agung SustNET, Ts Dr Norsaidatul Akmar Mazelan serta ramai lagi.

Acara tersebut turut dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengasas dan Pengerusi GPM Global, Dr Joel Carboni secara dalam talian.

Antara kategori yang disediakan selari Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-SDG) adalah anugerah ‘Project of The Year’, ‘Project Excellence’, ‘Sustainability Leadership’ dan ‘Fundamental’

Seramai 100 wakil daripada agensi kerajaan selain MGTC turut hadir misalnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta jabatan-jabatan negeri.

Sementara itu, Mohamed Alauddin selaku perasmi program terbabit berpendapat, kelestarian adalah asas kepada inklusiviti dan kesemua penerima anugerah berjaya menunjukkan komitmen terhadap usaha berkenaan.

“Justeru, saya berterima kasih kepada semua di atas sokongan yang tidak berbelah bahagi dengan menyertai program sebegini.

“Tahniah sekali lagi kepada penerima anugerah kerana menyumbang idea bernas dalam merancakkan elemen kemampanan dan kelestarian,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!