Mindef fokus tiga perkara pastikan Kepengerusian ASEAN berjaya

Mohamed Khaled (barisan depan, dua dari kiri) menghadiri Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur pada Khamis.
Mohamed Khaled (barisan depan, dua dari kiri) menghadiri Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (Mindef) memfokuskan tiga perkara dalam usaha menjayakan Kepengerusian ASEAN yang akan berlangsung di Malaysia pada tahun ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, fokus pertama adalah memastikan tidak berlaku sebarang peningkatan ketegangan atau pergeseran yang berpotensi membawa kepada konflik serantau.

“Kedua, kementerian akan memastikan ASEAN diangkat sebagai platform diplomasi terbaik dalam menguruskan sebarang cabaran serantau terutamanya melalui saluran Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM Plus yang akan diadakan pada 17-21 November ini.

“Ketiga, kita akan menjadikan ASEAN sebagai peluang memperkemas pelbagai latihan, kerjasama serta diplomasi pertahanan di rantau ini dengan negara-negara anggota, negara-negara pemerhati dan rakan strategik ASEAN yang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 di Wisma Perwira di sini pada Khamis.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Mengulas lanjut Mohamed Khaled berkata, dalam konteks keamanan sejagat pula, penglibatan Malaysia dalam misi-misi keamanan sejagat dan pemeliharaan hak asasi di bawah panji-panji badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan diteruskan.

"Penyertaan dan sokongan Malaysia dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) akan terus kita jayakan dengan komited," katanya.

Khaled turut berhasrat membawa mesej penting semasa penyertaan dalam UN Peacekeeping Ministerial 2025 di Berlin, Jerman pada 13 hingga 14 Mei ini

Artikel Berkaitan:

“Kementerian akan memastikan segala pendekatan, persediaan, corak latihan serta keperluan aset bersesuaian untuk membolehkan penyertaan dan sumbangan berkesan Malaysia dalam misi-misi pengaman dunia diberikan perhatian yang sewajarnya.

"Komitmen ini dipasakkan pada kepercayaan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif mesti kekal menjadi suara serta kuasa penengah yang neutral, berprinsip dan tegas," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!