Darren Choy dilantik CEO baharu Kumpulan FMCG Sedania

SHAH ALAM- Sedania Innovator Berhad (Sedania) mengumumkan pelantikan Darren Choy sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan FMCG Sedania yang berkuat kuasa 16 Januari 2025.
Sedania dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Ng Hock Guan yang telah melepaskan jawatannya atas sebab komitmen peribadi.
Menurutnya, pemilihan Darren dibuat berdasarkan pengalaman beliau yang luas dengan rekod prestasi cemerlang menerusi jawatan eksekutif tertinggi, termasuk sebagai Pengarah Urusan Warner Music Malaysia dan Singapura, Pengarah Urusan Adidas Malaysia dan Singapura, Ketua Pegawai Pemasaran Lotus Racing F1 Team serta Pengarah Urusan EMI Music Malaysia.
“Pelantikan strategik itu menegaskan usaha Sedania untuk memangkin pertumbuhan dan inovasi dalam sektor FMCG lestari.
“Darren akan memimpin Kumpulan FMCG Sedania dan memainkan peranan penting dalam fasa pertumbuhan global yang seterusnya membina asas kukuh yang telah dibentuk di bawah pimpinan Hock Guan,” katanya pada Rabu.
Menurut Sedania, pendekatan dinamik yang digunakan oleh Darren dalam mentransformasikan organisasi, prestasi pasukan dan pertumbuhan holistik telah membuahkan hasil luar biasa secara konsisten.
Antara pencapaian yang diperoleh termasuk meningkatkan keuntungan sebanyak 135 peratus dan pendapatan 155 peratus semasa berkhidmat bersama Warner Music Malaysia.
“Darren turut memacu Adidas Malaysia untuk mengatasi pesaing terdekatnya, Nike, dalam penjenamaan dan kepimpinan pasaran buat kali pertama.
“Beliau turut mengukuhkan kedudukan EMI Music Malaysia dengan meningkatkan pegangan pasaran ke 21.5 peratus menjadikannya sebagai peneraju industri muzik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan Sedania, Tun Raus Md Sharif mengulas, kecemerlangan rekod Darren menjadikannya sebagai pemimpin yang ideal untuk menerajui syarikat tersebut ke arah lebih gemilang.
Tambah beliau, kepakaran, semangat dan kepimpinan berwawasan Darren akan mendorong Sedania ke arah pencapaian baharu selain mengukuhkan kedudukan sebagai jenama ulung dalam sektor FMCG lestari.
“Kami menekankan usaha teguh terhadap pertumbuhan mampan dan inovasi,” katanya.
Dengan sentimen yang sama, Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, pencapaian Darren sebelum ini sebagai Pengarah Urusan Adidas Malaysia dan Singapura sejajar dengan aspirasi Offspring dan Tanamera.
Menurutnya, selain mengetuai jenama gaya hidup berskala global, rekod cemerlang Darren dalam industri muzik yang amat kompetitif telah mengubah cita rasa pengguna selain mampu mengatasi pelbagai cabaran.
“Pada tahun-tahun sebelumnya, kami telah membina asas kukuh dengan memberi fokus pada elemen inovasi, keupayaan rantaian bekalan dan memperkukuhkan sistem operasi dalaman kami.
“Pencapaian ini memberi keyakinan besar kepada saya bahawa pandangan strategik dan kepakaran Darren dalam pemasaran global serta penjenamaan akan membawa Kumpulan FMCG Sedania ke tahap yang baharu.
"Kami berada di ambang babak baharu yang menarik, dan saya menantikan permulaan perjalanan ini dengan Darren di barisan hadapan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!