Hilang sejak Ahad, warga emas ditemukan mati di Pantai Pasir Bogak

LUMUT - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu, ditemui meninggal dunia di pesisiran Pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, anggota dari Balai Polis Pangkor telah menerima maklumat awam berkaitan penemuan mangsa yang berusia 87 tahun itu.
"Siasatan awal pihak polis menemui seorang lelaki tidak sedarkan diri dan pemeriksaan pihak Klinik Kesihatan Pangkor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
"Semakan mendapati mangsa dilaporkan hilang Ahad lalu dan keluarga memaklumkan mangsa keluar rumah sendirian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Menurut beliau, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat.
"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian yang berlaku boleh menyalurkannya ke Balai Polis Pangkor di talian 05-6851222 atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung di 05-6886222 dan hotline WhatsApp 014-6828005," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!