Dua 'call man' ditemui meninggal dunia dalam kereta
AMPANG JAYA - Dua lelaki yang merupakan penarik kereta kemalangan ditemui meninggal dunia dalam sebuah kenderaan dekat Jalan Persiaran 9, Taman Ampang pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya sebelum itu menerima maklumat berkaitan kejadian pada jam 6.17 petang.
"Orang ramai mendapati dua individu terbabit dipercayai tidak sedarkan diri berada dalam sebuah kereta sebelum menghubungi talian MERS 999.
"Kakitangan perubatan dari Hospital Ampang yang tiba di lokasi kejadian kemudiannya menjalankan pemeriksaan terhadap kedua-dua mangsa dan mendapati mereka telah meninggal dunia," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, polis yang menjalankan pemeriksaan mendapati kenderaan dinaiki dua individu berkenaan masih hidup serta keempat pintu dan tingkap dalam keadaan tertutup.
"Pintu bahagian penumpang dan pemandu kemudiannya dibuka dan didapati kedua-dua individu terbabit dalam keadaan mulut berbuih serta tidak sedarkan diri.
"Selain itu, pemeriksaan turut mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh badan kedua-dua individu itu," katanya.
Menurutnya, semakan mendapati dua individu berkenaan merupakan warga tempatan.
"Kedua-dua individu terbabit berumur lingkungan 30an dan bekerja sebagai penarik kereta kemalangan.
"Mayat kedua-kedua individu itu dibawa ke Hospital Ampang untuk proses bedah siasat," katanya.
Mohd Azam berkata, siasatan mendapati tiada sebarang elemen jenayah berhubung kejadian.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.