Premis punca Sungai Kabul merah jambu laksana kerja pembersihan

HULU LANGAT - Kerja pembersihan di dalam kawasan premis disyaki menyebabkan aliran Sungai Kabul bertukar merah jambu dalam kejadian Selasa telah selesai dilaksanakan.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengesan terdapat aliran air berwarna merah jambu keluar daripada satu paip disyaki dibina tanpa kebenaran di kawasan Perindustrian Mahkota, Beranang.
Menurutnya, aliran tersebut telah masuk ke alur buatan dan seterusnya ke Sungai Kabul.
"LUAS telah menyelaraskan tindakan bersama pihak MPKj (Majlis Perbandaran Kajang) untuk penutupan segera paip tersebut yang belum dikenal pasti punca alirannya bagi mengurangkan risiko kepada Sungai Kabul, Sungai Beranang dan seterusnya Sungai Semenyih," katanya menerusi kenyataan.
LUAS memaklumkan, pihaknya juga telah meningkatkan pemantauan di lokasi-lokasi berkaitan di hulu Sungai Kabul.
Ujarnya, keadaan semasa Sungai Beranang dan Sungai Semenyih adalah terkawal dan pasukan LUAS serta agensi-agensi terlibat sedang giat melaksanakan semakan dan pemantauan rapi di tapak.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan aliran Sungai Kabul dianggarkan sepanjang 500 meter bertukar warna merah jambu pada petang Selasa.
Kejadian itu dikesan sewaktu rondaan dan pemantauan rutin pasukan LUAS di lembangan Sungai Langat sekitar jam 6.40 petang.
Pencemaran itu disyaki berpunca daripada pelepasan aliran daripada sebuah kilang di Beranang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!