Jho Low telah dikenakan notis merah Interpol: KPN

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan yang kini sedang dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low tersenarai dalam individu dikehendaki dan dikenakan notis merah oleh Polis Antarabangsa (Interpol).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, terdapat maklumat mengenai notis merah yang boleh dikongsi secara umum.

"Selain itu, ada maklumat hanya dihadkan kepada agensi penguat kuasa sahaja," katanya pada sidang media selepas hadir pada majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Penggantian lif di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kenyataan Interpol sebelum ini mengesahkan, pihaknya belum menyenaraikan Jho Low dalam laman web rasmi agensi itu.

Pejabat Media Interpol menegaskan, agensi itu tidak akan menyenaraikan semua nama individu dikehendaki dan dikenakan notis merah menerusi laman web rasminya.

Mana-mana pihak di negara ini yang berhasrat mendapatkan maklumat berkaitan Jho Low diminta merujuk kepada pihak berkuasa Malaysia.

“Jika mana-mana pasukan polis daripada 194 negara anggota Interpol berkongsi maklumat dengan Sekretariat Agung Interpol di Lyon (Perancis) membabitkan siasatan dan individu berkaitan, maklumat itu kekal rahsia dengan negara berkenaan.

“Interpol tidak akan memberikan komen terhadap kes itu kecuali dalam situasi tertentu dan disertakan dengan persetujuan negara berkaitan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, Interpol didakwa sepatutnya sudah menyenaraikan nama Jho Low sebagai individu dikehendaki menerusi laman webnya, selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada Mei tahun lalu, Abdul Hamid memaklumkan, pihaknya sudah menemui petunjuk positif dalam gerakan memburu Jho Low yang dipercayai terlibat dengan isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan lebih lanjut mengenai petunjuk tersebut.

Sebelum ini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.9 bilion) telah disalahgunakan daripada 1MDB.

Jho Low dituduh sebagai dalang transaksi wang haram yang disalurkan dari syarikat pelaburan negara itu.