Arsenal patut boleh ledak 10 gol

PEMAIN tengah Arsenal, Declan Rice memuji prestasi jentera serangan pasukan itu dalam kemenangan 2-1 ke atas Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Khamis.
Rice berkata, Arsenal sepatutnya boleh menang dengan jaringan besar di sebalik peluang jaringan yang dicipta terutama pada separuh masa kedua.
Bagaimanapun, pasukan kendalian Mikel Arteta itu terlebih dahulu ketinggalan melalui jaringan Son Heung-min pada minit ke-25 sebelum gol sendiri pemain Spurs, Dominic Solanke mengikat kedudukan.
Leandro Trossard memastikan kemenangan pasukan seminit sebelum separuh masa pertama tamat.
Arsenal melepaskan beberapa peluang pada separuh masa kedua untuk melebarkan kedudukan mereka dan Rice berkata, mereka seharusnya meraih kemenangan lebih selesa.
“Kami tidak bernasib baik kerana tidak dapat menjaringkan 10 gol, itulah perasaannya. Kami tidak memerlukan motivasi tambahan menentang Spurs, jika anda tidak boleh bangkit maka anda tidak sepatutnya bermain bola sepak.
"Kami mungkin boleh menjaringkan lima atau enam lagi gol dan itu adalah perkara yang mengecewakan," katanya.
Arsenal kini ketinggalan empat mata di belakang pendahulu liga, Liverpool, yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Spurs pula berada di kedudukan ke-13 selepas mengalami kekalahan ke-11 dalam EPL selepas 21 perlawanan musim ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
