Bidoglio puas hati aksi pemain JDT

Pemain JDT, Arif Aiman Hanapi menjaringkan dua gol pada aksi separuh akhir pertama berdepan TFC. Foto FB Johor Southern Tigers
Pemain JDT, Arif Aiman Hanapi menjaringkan dua gol pada aksi separuh akhir pertama berdepan TFC. Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio berpuas hati dengan aksi mantap dipamerkan kesebelasan skuad Harimau Selatan ketika membenam cabaran Terengganu FC (TFC), 4-0, pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, pada Jumaat.

Menurutnya, kesemua pemain telah beraksi sebagai satu pasukan dan ia dilihat telah membantu menghasilkan jaringan pada perlawanan berkenaan yang sekali gus menjamin bekalan selesa untuk aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, kelak.

“Secara keseluruhannya, saya gembira dengan aksi dipamerkan pemain biarpun mengharungi perlawanan yang agak sukar ini.

“Bagaimanapun, pemain dilihat berjaya menyerap tekanan serta asakan-asakan tuan rumah dan kita berjaya menjaringkan gol pada setiap babak.

“Apa pun, kemenangan ini sangat bermakna untuk kita menjelang aksi separuh akhir kedua nanti,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.

Pada aksi separuh akhir pertama berkenaan, penyerang import, Romel Morales membuka jaringan pada minit ke-17 diikuti dua gol oleh Arif Aiman Hanapi (min-79, 85) dan satu gol lagi dijaringkan Bergson da Silva pada masa kecederaan.

Sementara itu, Bidoglio berkata, JDT berdepan kesukaran apabila berdepan TFC kali ini yang dilihat telah beraksi dengan cukup baik di sepanjang perlawanan.

Malah katanya, dengan barisan pemain terbaik, skuad Harimau Selatan itu perlu lebih berwaspada untuk berdepan TFC pada aksi separuh kedua nanti.

Artikel Berkaitan:

“TFC mempunyai ramai pemain yang bagus dan mereka juga bermain dengan baik. Oleh itu, kita perlu bersedia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!