‘Tiket' galak alumni sumbang tenaga semula kepada UPM – Nurulhidayah

SHAH ALAM - Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menegaskan pelantikannya ke jawatan itu menjadi ‘tiket’ untuknya menggalakkan alumni menyumbang tenaga semula kepada universiti.
Nurulhidayah berkata, dengan amanah yang dipikul lebih-lebih lagi sebagai seorang alumni UPM, beliau sangat teruja untuk membantu lebih ramai anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dengan menampung kos pengajian mereka yang layak menuntut di universiti berkenaan.
Menurutnya, niat beliau itu tidak tersasar dan bukan seperti tuduhan tidak berasas yang mempertikaikan kelayakannya hanya kerana merupakan anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya juga manusia biasa sama seperti orang lain yang masih bekerja, berniaga dan ingin membantu orang atas kapasiti kecil saya sebagai mantan mahasiswa UPM.
“ 'Helping people is my passion’. Apa lagi untuk menggalakkan dan membantu mereka yang berkeinginan untuk ke universiti tetapi tidak berkemampuan,” tulisnya dalam satu hantaran di Instagram pada Rabu.
Sebelum ini, Sinar Harian mengesahkan pelantikannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah UPM berkuat kuasa 2 Januari lalu hingga 1 Januari 2028.
Exco Wanita UMNO tersebut berkata, beliau mahu fokus dalam membantu pelajar yang kurang bernasib baik dari segi kewangan, namun layak untuk melanjutkan pengajian di universiti.
Mengulas lanjut, Nurulhidayah memaklumkan, beliau hanya sekadar mencuba nasib menghantar permohonan menjadi Ahli Lembaga Pengarah UPM kerana kebetulan akan ada ahli yang bakal tamat tempoh.
“Alhamdulillah, pada minggu lepas saya mendapat panggilan dan diminta memberi maklum balas jika bersetuju dengan tawaran yang dinyatakan kepada saya.
“Saya percaya dengan menjadi sebahagian daripada Ahli Lembaga Pengarah UPM, lebih mudah untuk saya berkhidmat lebih aktif lagi jika terpilih,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!