Seleweng dana pelaburan RM104 juta, SPRM tahan lima individu

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lima individu disyaki terbabit dalam satu penipuan melibatkan dana pelaburan orang awam.
Sumber berkata, perintah reman selama tujuh hari sehingga Selasa telah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.

Menurut sumber, kelima-lima suspek termasuk empat ahli lembaga pengarah syarikat yang berusia lingkungan 50 sehingga 60-an telah ditahan sekitar jam 7 petang pada Selasa ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya.
"SPRM telah menerima beberapa aduan dan maklumat berkaitan kegiatan berunsur jenayah yang dilakukan oleh sebuah syarikat pemegang amanah berlesen di bawah Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM).
"Syarikat tersebut didapati menggunakan dana yang dikumpul daripada pelabur untuk kepentingan peribadi dan bersama individu yang bersekongkol dalam kegiatan jenayah ini," katanya pada Rabu.
Sumber berkata, dana sebanyak RM104 juta telah dikesan diselewengkan daripada syarikat tersebut ke beberapa syarikat persendirian yang dimiliki oleh proksi.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dibuat dalam satu operasi digelar Op Trust.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Kata beliau, modus operandi yang dijalankan dalam kegiatan tersebut memerlukan kepakaran yang tinggi bagi pegawai SPRM untuk menjejak aliran kewangan.
"Siasatan yang dijalankan ini juga bertujuan membantu kerajaan mengukuhkan kepercayaan awam terhadap badan pengawal selia yang mengeluarkan lesen untuk syarikat-syarikat pemegang amanah.
"Selain itu dalam masa sama dapat mewujudkan platform yang bersih dan selamat untuk pelabur," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!