Malaysia sahkan kuota 31,600 jemaah haji, mohon tambahan lagi 10,000 kuota

SHAH ALAM - Malaysia mengesahkan kuota haji untuk seramai 31,600 jemaah bagi musim 1446H/2025M dan sedang berusaha mendapatkan 10,000 lagi kuota tambahan daripada kerajaan Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, jumlah kuota haji itu merupakan antara kandungan Memorandum Urusan Haji yang ditandatanganinya bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfig Fawzan Al-Rabiah di Superdome di Jeddah.

"Ia adalah komitmen kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah, khusus untuk musim haji kali ini.
"Memorandum itu, membabitkan beberapa persetujuan, antaranya jumlah kuota haji rasmi Malaysia seramai 31,600 orang tahun ini, selain negara akan menyelesaikan semua kontrak bersama pelbagai pihak di Arab Saudi, lebih awal bagi memudahkan pengurusan jemaah haji di Tanah Suci.
"Malaysia turut menyatakan persetujuan mematuhi garis panduan berkaitan ketibaan dan pergerakan pulang melalui lapangan terbang Madinah dan Jeddah seperti ditetapkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
"Alhamdulillah, menerusi kunjungan rasmi ini, kita memeterai memorandum bagi mengukuhkan lagi hubungan akrab yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Arab Saudi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada masa sama, Mohd Na'im berkata, beliau turut mengemukakan permohonan kuota haji tambahan sebanyak 10,000 ketika kunjungan hormat ke atas Tawfig dan berharap ia akan dipertimbangkan oleh Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi.
Pertemuan rasmi itu diadakan sempena acara tahunan Simposium dan Pameran Haji 1446H yang mengumpulkan pengendali operasi haji dan umrah dari seluruh dunia serta menjadi platform perkongsian aspirasi pengurusan haji.
Delegasi Malaysia turut diwakili oleh Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman serta barisan pengurusan kanan TH.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!