[VIDEO] Didenda RM5,000 pecah cermin balai polis, kereta bekas kekasih
MELAKA - Tindakan seorang penganggur memecahkan cermin balai polis dan cermin kereta bekas kekasihnya pada minggu lalu, mengundang padah apabila Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu, menjatuhi hukuman denda sebanyak RM5,000.
Muhammad Hidayat Burhan,25, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibaca terhadapnya secara berasingan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda tersebut dia boleh dipenjara selama lapan bulan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki itu didapati bersalah melakukan khianat dengan membaling tukul besi sehingga menyebabkan cermin hadapan Balai Polis Tanjung Kling, Melaka pecah dan mengakibatkan kerugian kira-kira RM2,000.
Perbuatan itu dilakukan di hadapan Balai Polis Tanjung Kling pada jam 10.10 malam, pada 7 Januari lalu.
Dia yang tidak bekerja turut didapati bersalah melakukan khianat dengan memecahkan cermin hadapan kereta milik seorang individu.

Difahamkan tertuduh bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan bekas teman wanitanya yang berkahwin dengan lelaki lain.
Kesalahan itu dilakukan di rumah beralamat 1258-2 Batu 7, Tanjung Minyak, di sini, pada jam 10.30 malam, 8 Januari lalu.
Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliyah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.
Tertuduh tidak diwakili peguam tidak mengemukakan sebarang rayuan terhadap kedua-dua kesalahan tersebut.
Mahkamah kemudian memerintah tertuduh didenda sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan dan tertuduh membayar jumlah denda berkenaan.
Sinar Harian pada Jumaat lalu melaporkan lelaki itu dicekup polis selepas disyaki memecahkan cermin hadapan Balai Polis Tanjung Kling dengan membaling tukul besi ke arah bangunan itu dalam kejadian pada malam Selasa.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, suspek lelaki berusia 25 tahun dan dipercayai kurang siuman itu ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, kira-kira jam 12.40 pada awal pagi Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

