[VIDEO] 'Ini kejadian terburuk sejak 20 tahun lalu'

A
A
A

KUALA NERUS - Pengusaha chalet di Pantai Batu Rakit, di sini berharap kerajaan mengambil langkah berkesan bagi menangani masalah hakisan di kawasan itu.

Pemilik Chalet Bira Pata, Abdul Wahab Othman, 65, berkata, setakat ini pengusaha chalet di situ belum melihat mekanisme terbaik diambil kerajaan bagi membantu mereka.

“Kita mengharapkan satu pelan tindakan diambil kerajaan, mungkin ada dibincangkan tetapi kita tidak nampak arah tujuan perancangan kerajaan itu. Kami tidak diberitahu apa langkah seterusnya.

“Selain itu, pembinaan benteng pemecah ombak yang lebih kukuh amat penting bagi menyelamatkan harta benda penduduk,” katanya ketika ditemui pada Selasa.

Abdul Wahab berkata, dua bilik chalet miliknya runtuh akibat ombak besar pada Ahad.

Abdul Wahab meninjau kerosakan chalet miliknya yang dilanda ombak besar pada Ahad lalu. Gambar kecil dari kiri: Abdul Wahab, Mohamad Hafiz
Abdul Wahab meninjau kerosakan chalet miliknya yang dilanda ombak besar pada Ahad lalu. Gambar kecil dari kiri: Abdul Wahab, Mohamad Hafiz

“Saya bergegas datang dari Kuala Lumpur dan bersyukur kerana enam lagi bilik masih selamat.

“Ini adalah kejadian terburuk sejak 20 tahun lalu kerana hakisan sebelum ini hanya menghanyutkan gazebo dan bahagian pelamin pengantin,” ujar beliau

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dia terpaksa menanggung kerugian termasuk perniagaan, bangunan dan tanah.

Sementara itu, Pengusaha Batu Rakit View Chalet, Mohamad Hafiz Abdullah, 38, berkata, sebanyak RM10,000 dibelanjakan bagi menambah benteng di kawasan chalet miliknya sepanjang tempoh empat tahun.

“Chalet ini dibina pada 2010 dan masalah hakisan mula ketara sejak 2018 dan mengakibatkan saya kerugian lebih RM30,000.

“Kita juga hilang pengunjung kerana kalau ikutkan setiap hujung tahun pelanggan agak berkurangan kerana perubahan cuaca akibat musim tengkujuh dan masalah hakisan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!