Gerakan kritik, dakwa pemimpin PH kerap ubah peraturan

Dominic Lau
Dominic Lau
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengkritik pemimpin dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa kerap mengubah peraturan 'permainan'.

Ini kerana, menurut Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, PH menentang pelantikan politik sebelum pilihanraya lalu, namun selepas pilihan raya, pelantikan politik terus menerus dilakukan.

Dominic Lau turut mengkritik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober tahun lalu, yang mendakwa jumlah pelantikan politik dalam Kerajaan Perpaduan adalah lebih rendah berbanding Perdana Menteri sebelumnya.

Menurutnya, kenyataan Perdana Menteri itu adalah bersifat mengelirukan.

"Jika Kerajaan Perpaduan benar-benar telus dalam pentadbiran, mereka seharusnya mengumumkan daripada lebih 100 pelantikan politik, berapa ramai yang benar-benar tiada latar belakang parti politik dan dilantik berdasarkan profesionalisme serta kelayakan akademik," soalnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, pelantikan anak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) membuktikan bahawa PH langsung tiada keazaman untuk mereformasi pelantikan politik.

"Tindakan melantik 'orang sendiri' ke jawatan penting kemudian memberikan naratif lain untuk membela diri adalah seperti 'mengubah peraturan permainan' dengan bermain mengikut peraturan yang ditetapkan sendiri.

“Kalau Barisan Nasional dianggap menjadikan pelantikan politik sebagai kerjaya, PH pula mengangkat 'anak emas' mereka.

Artikel Berkaitan:

"Saya ingin mengingatkan Perdana Menteri, mengurangkan jumlah pelantikan politik berbanding kerajaan sebelumnya bukanlah reformasi. Walaupun jumlahnya hanya 95, jika ada, maka tetap ada dan ia tidak boleh dinafikan,” tegasnya.

Dalam kenyataan sama, Dominic Lau turut menyindir seorang pemimpin PH yang pernah mengejek pelantikan senator untuk menjadi menteri dan timbalan menteri, dengan mempersoalkan kawasan Parlimen mana yang disebut 'pintu belakang'.

"Namun, apabila beliau sendiri dilantik sebagai senator untuk menjadi timbalan menteri, beliau tidak lagi mempersoalkan pelantikan 'pintu belakang' tersebut.

“Sekarang, di bawah pimpinan Anwar, menteri-menteri penting seperti Menteri Dalam Negeri, Menteri Pendidikan Tinggi, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, serta Timbalan Menteri Kewangan Kedua semuanya dilantik melalui pelantikan senator.

"Mengapa tiada sesiapa yang mempersoalkan pelantikan 'pintu belakang' ini?

"Selama beberapa dekad, mereka menyeru penghapusan pelantikan politik demi memberi keutamaan kepada pentadbiran berdasarkan prestasi tetapi apabila menjadi kerajaan, mereka bertindak sewenang-wenangnya," ujarnya.

Begitupun, beliau menambah, Gerakan akan terus berpegang kepada perjuangan politik dan berharap dapat menyedarkan rakyat untuk membina kesedaran masyarakat sivil dan bersama-sama memainkan peranan dalam mengawasi kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!