Penerimaan BAP menerusi transaksi bank meningkat 10 peratus

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Fadhlina bergambar bersama para penerima bantuan pada Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2025 di Auditorium Tan Sri Abdul Rafie Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWKL) hari ini. - Foto: Bernama
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Fadhlina bergambar bersama para penerima bantuan pada Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2025 di Auditorium Tan Sri Abdul Rafie Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWKL) hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan mengesahkan terdapat peningkatan sebanyak 10 peratus ibu bapa yang memilih untuk menerima dana Bantuan Awal Persekolahan (BAP) melalui transaksi kredit akaun bank.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kaedah transaksi bank atau kredit itu semakin digemari kerana ia lebih selamat dan memudahkan urusan semasa.

Beliau turut memaklumkan bahawa pengagihan BAP kini diperluaskan lagi ke akaun simpanan dari mana-mana bank dan tidak terhad kepada Bank Simpanan Nasional (BSN) seperti kebiasaannya.

“Dengan membenarkan ibu bapa atau pelajar menggunakan mana-mana akaun simpanan, proses ini lebih fleksibel dan memudahkan ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2025 di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan pada Isnin.

Pengagihan BAP kepada semua sekolah di bawah bidang kuasa kementerian telah diselesaikan pada 10 Januari dengan jumlah peruntukan sebanyak RM723,165,300 untuk memberi manfaat kepada lebih daripada 4 juta pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 4.

Bantuan awal persekolahan sebanyak RM150 diagihkan bermula 13 Januari kepada pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 4 bagi sesi persekolahan 2024/2025.

Sebanyak RM791,250,000 telah diperuntukkan oleh Kerajaan Madani untuk pembayaran sekali bayar sebanyak RM150 bagi setiap pelajar kepada lebih daripada 5.2 juta pelajar.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, bantuan BAP akan diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 6 bagi 2025 dan dianggarkan seramai 100,000 pelajar Tingkatan 6 akan menerima buat kali pertama.

Pelajar Tahun 1 (bagi sesi 2025/2026) dan pelajar Tingkatan 6 semester kedua akan menerima agihan pada 16 Februari manakala bagi pelajar Tingkatan 6 baharu, pengagihan bantuan akan bermula pada 1 Julai.

Sementara itu, Fadhlina mengingatkan pihak sekolah untuk menyerahkan BAP RM150 kepada setiap murid sepenuhnya tanpa melakukan sebarang pemotongan tertentu.

Tegasnya lagi, ibu bapa juga turut diingatkan menggunakan wang bantuan kerajaan itu untuk tujuan persekolahan anak-anak mereka sahaja.

“Jadi kalau ada yang melanggarnya, kita minta pihak terbabit buat aduan untuk siasatan dan tindakan segera,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!