Pengurus syarikat maut nahas empat kenderaan

SHAH ALAM - Seorang pengurus syarikat maut dalam nahas jalan raya membabitkan empat kenderaan di Jalan Platinum 7/60, Seksyen 7 di sini pada Ahad.
Mangsa yang merupakan lelaki tempatan berumur 46 tahun itu dipercayai menunggang motosikal jenis Yamaha FZ150 ketika kejadian.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.25 pagi.
Beliau berkata, kejadian berlaku apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu seorang lelaki tempatan dari arah kawasan perumahan menghala ke Persiaran Bestari dipercayai telah hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang motosikal ditunggang mangsa.
"Mangsa gagal mengawal motosikalnya sebelum merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang diparkir di tepi jalan serta mengakibatkan mangsa terjatuh atas jalan.
"Masa sama, MPV berkenaan yang mahu mengelak mangsa kemudiannya melanggar bahagian belakang sebuah lagi SUV jenis BMW X5," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat kejadian.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan di lokasi kejadian.
"Pemandu MPV terbabit telah ditahan untuk diambil sampel urin dan darah bagi melengkapkan siasatan," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Syahrul Zulkeflee di talian 010-4589850," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!