Peruntukan RM30 juta lonjak motivasi Harimau Malaya

Hamidin. Foto Agensi
Hamidin. Foto Agensi
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) berbesar hati dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung peningkatan peruntukan RM15 juta kepada RM30 juta terhadap Harimau Malaya.

Presidennya, Tan Sri Hamidin Mohd Amin berkata, peruntukan tersebut akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi meningkatkan program-program pembangunan Harimau Malaya pada setiap peringkat.

"Usaha itu termasuk mempersiapkan pasukan utama agar lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa yang disertai," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Perdana menteri dalam satu kenyataan memaklumkan penambahan jumlah peruntukan RM15 juta yang sebelum ini diumumkan sewaktu Belanjawan 2025 kepada RM30 juta khusus untuk pembangunan bola sepak Malaysia.

RM15 juta lagi akan dibiayai oleh pihak swasta.

Hamidin menjelaskan bahawa dana itu juga akan digunakan oleh FAM bagi aspek pengurusan organisasi untuk memacu perubahan bagi memastikan para pemain skuad kebangsaan mendapat sokongan yang terbaik daripada tenaga pakar yang dilantik.

"Peruntukan tambahan ini juga sudah pasti akan meningkatkan lagi motivasi buat para pemain skuad kebangsaan bagi mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan," katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa prihatin serta memberikan sokongan dan bantuan kepada FAM dalam usaha meningkatkan lagi prestasi skuad Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan:

"Sekali lagi ucapan terima kasih kepada perdana menteri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!