Buang kucing: DVS sita kereta dan guni, rakam keterangan individu

Tindakan sekumpulan individu di kawasan pangsapuri Batu 9, Cheras yang didakwa menangkap beberapa ekor kucing dan memasukkannya ke dalam guni dipercayai untuk dibuang pada Sabtu.
Tindakan sekumpulan individu di kawasan pangsapuri Batu 9, Cheras yang didakwa menangkap beberapa ekor kucing dan memasukkannya ke dalam guni dipercayai untuk dibuang pada Sabtu.
A
A
A

KAJANG - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor telah menyita kereta Nissan Sentra, beberapa guni dan sangkar disyaki digunakan sekumpulan individu bagi mengangkut kucing sebelum dibuang.

Menurut kenyataan DVS, individu yang terbabit dalam perbuatan seperti tular di media sosial turut dirakam percakapan.

"DVS mengesan video berdurasi 37 saat yang tular di pelbagai platform media sosial sejak Sabtu memaparkan sekumpulan orang awam meletakkan beberapa ekor kucing di dalam guni dan memasukkannya ke dalam but kereta jenis sedan.

"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan Pegawai Kebajikan Haiwan Negeri Selangor bergegas ke lokasi aduan untuk menjalankan pemeriksaan," katanya.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan awal pasukan mendapati kejadian dilaporkan berlaku antara jam 9 pagi sehingga 3 petang Sabtu.

"Ia membabitkan penduduk di sekitar lokasi aduan, yang terlibat dalam program gotong-royong anjuran bersama pihak pengurusan bangunan (JMB) perumahan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan itu, pasukan menyita kereta Nissan Sentra, beberapa unit guni dan sangkar yang dipercayai digunakan untuk mengangkut beberapa ekor kucing untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, keterangan beberapa suspek terbabit kes diambil mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].

Artikel Berkaitan:

"Kes itu disiasat mengikut Subseksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772] dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya negeri Selangor setelah siasatan dilengkapkan," katanya.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan polis menerima dua laporan berhubung penganiayaan beberapa kucing yang didakwa disumbat dalam guni dan dibuang di sebuah kawasan pangsapuri Batu 9, Cheras, di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dilaporkan berkata, salah satu laporan adalah daripada wakil kumpulan individu terbabit menafikan menganiaya dan mendera haiwan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!