Gunalah untuk pertahan diri, bukan pukul suami

Seni bela diri mampu membantu isteri untuk mempertahankan diri dalam situasi berbahaya. Foto hiasan
Seni bela diri mampu membantu isteri untuk mempertahankan diri dalam situasi berbahaya. Foto hiasan
A
A
A

KISAH pelakon dan model, Zahnita Wilson yang mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga memang mengejutkan.

Kes tersebut berlarutan sejak beliau memfailkan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang pada 3 Disember tahun lalu.

Terbaharu, suami wanita itu, Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor, 47, menyangkal dakwaan bahawa dia bersikap kasar dan memukul Zahnita, malah mendakwa dirinya cuba ‘dimuay thaikan’ oleh isterinya itu.

Zahnita bagaimanapun menafikan tuduhan itu namun mengakui pernah mempelajari sukan muay thai tetapi kemahiran itu digunakan untuk mempertahankan diri.

Kisah Zahnita mengingatkan penulis kepada filem Enough yang dibintangi Jennifer Lopez pada tahun 2002.

Filem adaptasi novel Black and Blue oleh Anna Quindlen itu mengisahkan seorang isteri yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, lari bersama anak perempuannya untuk mencari perlindungan.

Dalam pelarian, dia bertemu dengan seorang lelaki yang mengajarnya ilmu mempertahankan diri. Akhirnya, si isteri berjaya ‘menumpaskan’ suaminya dan membebaskan diri daripada belenggu rumah tangga yang toksik.

Keganasan rumah tangga adalah satu isu serius kerana berita mengenainya sering terpapar di media massa dan pelaku serta mangsa terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan latar belakang pendidikan.

Artikel Berkaitan:

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri di Dewan Rakyat pada Julai tahun lalu berkata, sebanyak 2,794 kes keganasan rumah tangga dilaporkan kepada pihak berkuasa dari tahun 2021 hingga 2023 di seluruh negara membabitkan golongan lelaki dan wanita.

Walaupun kerajaan telah menguatkuasakan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, namun ramai mangsa khususnya wanita dan kanak-kanak menghadapi kesulitan untuk mendapatkan perlindungan dan sokongan.

Bela diri

Seorang isteri boleh mempertahankan diri daripada ancaman atau kekerasan dalam rumah tangga.

Dalam beberapa situasi, terutama ketika seorang isteri merasa terancam atau berada dalam bahaya, mempertahankan diri adalah hal yang dapat membantu melindungi keselamatan dirinya.

Mempelajari seni bela diri adalah salah satu langkah positif yang boleh dimulakan. Seni bela diri bukan sahaja dapat meningkatkan rasa percaya diri, tetapi juga membantu dalam memperkuat mental dan fizikal seseorang.

Ia juga mampu membantu isteri untuk mempertahankan diri dalam situasi berbahaya. Ini penting terutamanya jika berhadapan dengan ancaman fizikal atau serangan.

Pembelajaran teknik-teknik seperti menepis, mematahkan pegangan dan serangan balik dapat memberikan keyakinan dan keselamatan dalam kehidupan seharian.

Ada pelbagai platform yang boleh digunakan untuk belajar seni bela diri baik secara dalam talian mahupun kelas secara langsung. Antaranya menerusi YouTube.

Terdapat banyak saluran menawarkan pelbagai jenis seni bela diri seperti karate, tekwando, jujitsu, muay thai dan lain-lain.

Anda boleh juga melayari platform dalam talian seperti Udemy yang menyediakan kelas-kelas diajarkan oleh jurulatih profesional.

Platform ini menyediakan seni bela diri yang boleh dipelajari dari rumah. Contoh kursus ialah Brazilian Jiu Jitsu for Beginners, Self-Defense Techniques dan sebagainya.

Terdapat juga beberapa aplikasi di telefon bimbit seperti Martial Arts Training, Budo Coach atau Just Fit yang menawarkan latihan bela diri baik berupa teknik, tutorial, mahupun tip untuk meningkatkan keterampilan dalam bela diri tertentu.

Dalam dunia yang penuh pancaroba dengan pelbagai kes jenayah sekarang ini, penulis rasa elok sangat sekiranya kita kaum wanita melengkapi diri dengan segala ilmu bela diri untuk keselamatan.

Namun, jika sudah mahir, janganlah pula kita mengasari. Gunakan untuk pertahankan diri, bukan untuk pukul anak atau suami.

*Puperahaizad Darsono ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!