Nahas dua kenderaan: Jenazah lima beranak selamat dikebumikan

PEKAN - Jenazah lima sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Nenasi-Rompin berhampiran Kampung Sembayan, Nenasi selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Nenasi Pantai di sini pada Ahad.
Pengebumian jenazah Hamzah Zahari, 52, isterinya, Rahimah Awang Muda, 38, dan tiga anak mereka, Ainul Mardhiyah, 10, Muhammad Luqman Nur Hakim, 8 dan Muhammad Lutfi, 4, selesai kira-kira jam 1.10 tengah hari.
Terdahulu, lima van yang membawa kesemua jenazah tiba di Masjid Nenasi kira-kira jam 5.30 pagi selepas dituntut keluarga dari Hospital Pekan setengah jam sebelum itu.

Selepas selesai disembahyangkan, jenazah kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan dan tiba jam 11.50 pagi seterusnya dikebumikan.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan masjid dan tanah perkuburan yang dihadiri ahli keluarga, saudara mara dan kenalan terdekat sejak pagi.
Lima sekeluarga itu dilaporkan maut dalam kemalangan melibatkan kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Nenasi-Rompin, berhampiran Kampung Sembayan, Nenasi di sini pada petang Sabtu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7 petang itu, pasangan suami isteri, Hamzah dan Rahimah serta tiga anak mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu MPV jenis Nissan Grand Livina yang juga anggota bomba dari Balai Indera Mahkota, Wahaid Zakaria, 51 dan isterinya, Salasiah Abdul Latif, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karang, Kuantan dilaporkan cedera.

Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku ketika kereta dinaiki lima sekeluarga itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Rompin menghala ke Nenasi manakala MPV dipandu anggota bomba itu dari arah Kuantan menghala ke Rompin.
Ketika tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Hamzah dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu sebelum bertembung dengan MPV dinaiki pasangan suami isteri itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

