Bulan Diracun Awan Djazlam Zainal

Kumpulan Puisi Bulan Diracun Awan tulisan Djazlam Zainal.
Kumpulan Puisi Bulan Diracun Awan tulisan Djazlam Zainal.
A
A
A

MEMBACA kumpulan puisi Djazlam Zainal Bulan Diracun Awan (2024), kaya dengan catatan dan rakaman kenangan, nostalgia dan mimpi yang dialami penyair. Banyak berlegar di sekitar diri dan alam, sebagai memoir yang berdasarkan pengalaman autentik dan imaginasi.

Mengungkap nasib diri, kerinduan dan visi yang mendalam. Sentimentaliti dan ilusi pengarang hidup, bagaikan sebuah epos panjang tentang kehidupan. Namun terdapat juga puisi yang macam 'iseng-iseng' semacam puisi hiburan belaka.

Nada puisinya sering meriah dan riang, terdapat juga yang suram dan muram. Optimistik dan pesimis. Bagai dikejar oleh obsesi dan tidak dapat melepaskan diri.

Perjalanan kehidupan penyair yang dipenuhi kesedihan, tragis dan bersifat komedi, dibuai pelbagai mimpi dan nostalgik. Mendapati dirinya berdepan dengan mimpi infinite regres masalah hidup yang tidak berkesudahan.

Bagaimanapun penyair tidak dalam keterasingan, bahkan menemui keluarga dan khalayaknya. Perhatikan stanza rumah

Di kamar kita tidur

Di dapur kita santap

Di serambi kita berderai lelah

Akan jalan-jalan

Artikel Berkaitan:

Yang pernah kita lalui

Di sini aku bersajak

Berbini dan beranak

Untuk sekian kalinya aku bermimpi

Bulan begitu jauh sekali

Teleku

Duduk berteleku

Di atas bangku

Kemudian tidur berdengkur

Bermimpi seekor burung

Dia masih tertidur

Ketika seorang tukang sapu

Bandar raya Kuala Lumpur

Menyapu mimpi-mimpimu

Di atas rumput

Berisi 55 buah sajak, yang kebanyakannya karya baru yang belum tersiar, dan sedikit tersiar di Dewan Sastera. Diterbitkan oleh Pena sebagai antara 123 buku dalam projek Buku Pena Malaysia Madani. Mutu penerbitannya berkualiti dengan warna merun yang menarik.

Pemikiran utamanya dibungkus oleh takdir, nasib dan destiny hidup, sangat sentimental. Teknik penyampaian penyair adalah mudah, tidak suka bersembunyi, dan waktu membacanya dengan cepat kita faham maksudnya. Keseluruhannya bagaikan sebuah elegi, penuh dengan rintihan, tetapi cekal dan nekad menghadapi kehidupan.

Hujan terlalu bening

Untuk menyimpan kata-kata

Air yang kau turunkan dari langit

Azab bertahun dendam sekurun

Tercurah pada siang matahari

Gemersik yang bersiok-siok

Di zink rumah paman

Musika yang indah lagi tenteram

Kala siang begitu gerah

Lalang bergoyang di depan rumah

Pelangi melengkung begitu indah

Memagari semua tunjuk arah

kepada-Mu.

Penyataan si pengarang ‘air yang kau turunkan dari langit’ dan ‘azab bertahun dendam sekurun’ ungkapan bertenaga dan indah membawa konotasi nostalgia, dan mewujudkan bunyi rima tengah dan hujungan yang menggetarkan. Bahasanya disusun secara harmonis, dengan vokal depan pada menyatakan idea dan citra dengan cantik dan estetik.

Wangi bunga jagung

Desiran lalang ditiup angin

Ada bau peluh

Dari surau tua

Yang sangat akrab

Aku mengenalinya

Melewati hari-hari

Di kampung karyawan yang purba

Teman-teman gelak ketara

Puisi direja melata

Kupandang kiri kanan

Engkau telah tiada

Sajak kenangan terhadap seseorang, yang saya fikir ialah Malim Ghazali Pk. Asonansi vokal /i/ dan /a/, meletakkan jeda dengan rentak berulangan, mewujudkan gaya kadensa. Rima, ritme, pola metrik dan bunyi-bunyi sajaknya diatur dengan rapi sehingga menimbulkan keindahan bunyi.

Segala eksploitasi dimensi muzikanya, jalinan dan kesesuaian tiap-tiap unit bunyi, yang pendek atau panjang diatur menurut tipografi puisi. Kepaduan unsur-unsur tersebut dapat menunjukkan ketelitian seseorang pengarang.

Taburan fonem dan diksi, didapati banyak sajak-sajaknya yang kaya dengan bunyi sengau, memperlihatkan sifat pengarang diri Jazlam Zainal seorang yang rajin bicara, tetapi memiliki sifat-sifat keindahan dan bertimbang rasa. Juga berjiwa kental. Dengan melihat penyebaran aplikasi fonologi itu, penyair seseorang yang berjiwa dinamik, tidak statik.

Meski terlihat penyair banyak berbicara tentang aku dan keindahan alamiah, lemas dalam diri, tetapi keakuannya tidak terlepas tanggungjawab pada sosial dan kontekstualnya.

Terbukti penyair suka mengembara menemui rakan dan sanak saudara, mencitrakan situasi masyarakatnya. Bagai kata Victor Hugo “Aku berbicara tentang diriku sebenarnya aku bercakap tentang anda.”

Di samping itu, puisinya banyak disandarkan pada kuasa ALLAH Azza wa Jalla. Dalam keadaan situasi apa pun, rasa pasrah berserah pada ALLAH melekat pada jantung-jantung puisinya.

Kupanggil Namau Tsunami, Untuk Siapakah Semua Ini Bernama dan Solat adalah contoh puisi yang padat dan lekat pada Ilahi. Meskipun bukan puisi para sufí, tetapi ingatan dan tunduknya kepada Maha Pencipta berada pada kebanyakan puisinya.

Agak menarik apabila penyairnya menyatakan “Saya mencuba melarikan diri daripada bentuk-bentuk awal yang agak bertele-tele, menjadi lebih mínimum jumlah kata-katanya.”

Membuat perbandingan pada puisi-puisinya empat kumpulan yang lalu, Bulan Diracun Awan telah mencapai hasrat pemuisi. Mengurangkan pembaziran kata-kata. Diksinya tepat. Sintaksisnya rapat. Rimanya pengikat. Dan penstrukturannya harmoni dan sinkronistik.

Tulisan ini cuba mendekatinya dengan teori stilistik dan membuktikan fonologi dan sintaksisnya disusun dengan kemas, padat dan ringkas.

Daripada aspek semantik dan maknanya jalan menembusi erti dan peranan kehidupan. Daripada aspek stail menunjukkan pengarang cukup berhemah, bersahsiah dan berhikmah.

Suaranya masih dipengaruhi oleh realisme sentimental, sering meminjam kenyataan daripada orang yang pernah dikenalinya. Ada waktunya amat sederhana, namun penuh makna dan emosi. Lebih tertarik pada kesenyapan dan gejolak diri.

Bagaimanapun penyair agak terbatas pada misi idealisme dan pemikiran. Kepada saya, reformasi dan evolusi yang perlu dilakukan ialah mengisi puisinya dengan subjek-subjek prima tentang kemanusiaan, kekuasaan dan tamadun bangsa.

Daripada penelitian stilistik penyair sudah mempunyai gaya dan stail sendiri, dan seorang yang pragmatik. Daripada pandangan teksdealisme sudah bergerak ke arah karya dan penyair yang unggul.

Djazlam Zainal sudah mencapai sebagai penyair mapan. Andainya misi idealisme dan pemikiran dimantapkan, boleh menempatkannya dalam jajaran penyair sasterawan negara.

*Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!