Kedai sejuk beku jadi stor simpanan barang kawalan

LUMUT - Berselindung di sebalik perniagaan makanan sejuk beku, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu premis yang dikesan menyimpan barang kawalan tanpa lesen di Seri Manjung pada Jumaat.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan rumah kedai dua tingkat itu dijalankan selepas menerima aduan awam berkaitan aktiviti mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan menemukan barang kawalan iaitu 551 kilogram (kg) gula pasir kasar, tepung gandum pelbagai jenama sebanyak 1,224.20kg dan minyak masak peket 1kg bersubsidi sebanyak 500kg yang disimpan di dalam premis tersebut.
"Siasatan awal ke atas pemilik premis mendapati dia gagal untuk mengemukakan Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA) Borong atau Runcit bagi barang kawalan tersebut untuk menjalankan aktiviti urusniaga barang kawalan bagi premis tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Kamalludin berkata, kesemua barang kawalan berjumlah RM4,703.27 telah disita dan tindakan kes telah diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 ke atas pemilik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
