Ibu muda bersama bayi berusia dua bulan hilang

TAMPIN - Polis sedang mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang sebaik keluar dari rumahnya di Felda Sungai Kelamah di sini dengan membawa bayi perempuannya yang berusia dua bulan pada awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, laporan polis mengenai kehilangan Nurul Asmiera Kardi, 22, dibuat ibunya pada hari sama pada jam 5.48 pagi.
"Pengadu buat laporan polis kerana bimbang keselamatan wanita itu dan bayinya. Punca dia keluar dari rumah masih belum diketahui.
"Ciri-ciri fizikal Nurul Asmiera, dia berketinggian lebih kurang 155 sentimeter, memakai tudung, kulit sawo matang yang mana pakaian semasa keluar baju kurung hitam jalur putih," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, wanita berkenaan turut membawa barang-barang kelengkapan bayinya semasa keluar.
"Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan Nurul Asmiera diminta untuk menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes Asistan Superintenden Mohd Rodzi Md Saad di talian 07-9481221.
"Boleh juga menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di talian 06-4431999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
