'Ejekan membawa maut'
JAKARTA - Gara-gara keluarganya sering diejek, seorang lelaki bersama anaknya nekad membunuh jirannya pada Jumaat lalu.
Kejadian berlaku di Desa Suka Maju, Kecamatan Sunggal, Kabupaten Deliserdang sekitar jam 6 petang waktu tempatan.
Mengesahkan kejadian berkenaan, Ketua Polis Medan Sunggal, Kompol Gunanti Hutabarat berkata, motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada dendam kerana mangsa sering mengejek keluarga suspek.
"Selama bertahun-tahun mangsa, Matius Ginting,44, mengejek dan menuduh bahawa isteri kepada suspek mengandung dan melahirkan anak luar nikah.
"Tuduhan itu menyebabkan mereka sakit hati," katanya kepada wartawan pada Rabu lalu.
Ujarnya, suspek Bakti Kaban (ayah) dan Alfredo Kaban (anak) membunuh mangsa menggunakan pisau.
"Ketika mereka bertembung di sebuah kawasan, Bakti berlari ke arah mangsa kemudian menikamnya di bahagian rusuk kiri dan kanan mangsa.
"Kemudian Alfredo menikam mangsa di bahagian paha, lalu menendang mangsa manakala Bakti pula menikam leher mangsa sehingga meninggal dunia," katanya.
Mereka kemudiannya berjaya ditangkap pihak polis beberapa jam selepas insiden berkenaan di sebuah hotel di Jalan Letjen Djamin Ginting.
Kedua-dua suspek kini terancam hukuman penjara maksimum 15 tahun. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!