Bayi, ibu tercampak kereta terbabas

Kereta Nissan Skyline terbabas dipercayai akibat tayar meletup dalam kejadian di Lebuhraya Elite kelmarin.
Kereta Nissan Skyline terbabas dipercayai akibat tayar meletup dalam kejadian di Lebuhraya Elite kelmarin.
A
A
A

SEPANG - Seorang bayi dan ibunya tercampak keluar dari kereta selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Kilometer 37.4 Lebuhraya Elite di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu berlaku ketika kereta terbabit yang berada di lorong tengah lebuh raya hilang kawalan dan berpusing disyaki akibat tayar pecah.

Menurutnya, kereta dipandu lelaki berusia 27 tahun itu kemudiannya merempuh pengadang jalan di sebelah kiri.

"Insiden itu menyebabkan isterinya berusia 27 tahun serta bayi perempuan berusia setahun lima bulan yang berada di tempat duduk belakang tercampak keluar melalui cermin belakang.

"Mangsa wanita mengalami patah paha kanan manakala anaknya patah bahu kanan dan kaki kiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

Sebuah kereta BMW gagal mengelak sebelum melanggar Nissan Skyline dalam kemalangan di Lebuhraya Elite kelmarin.
Sebuah kereta BMW gagal mengelak sebelum melanggar Nissan Skyline dalam kemalangan di Lebuhraya Elite kelmarin.

Beliau berkata, selain itu, kemalangan itu juga menyebabkan sebuah kenderaan jenis BMW yang melalui laluan tersebut gagal mengelak sebelum merempuh kereta mangsa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dua lagi kereta jenis Perodua Alza turut dilaporkan mengalami kerosakan akibat terkena serpihan objek dari kemalangan terbabit.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.