Tak sangka mangsa kemalangan adik sendiri

ALOR SETAR - Seorang tukang paip tidak menyangka adiknya sendirinya adalah mangsa kemalangan melibatkan dua motosikal dengan sebuah kereta di Jalan Alor Pudak-Titi Haji Idris, di sini, pada malam Khamis.
Dalam kejadian lebih kurang jam 11.20 malam Khamis itu, tiga mangsa termasuk sepasang suami isteri, Marzlan Abu Hassan,52, dan Noriza Saad, 34, serta seorang remaja, Muhammad Aidil Awang Saidin,14, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan.
Abang mangsa, Kasuadinata Saad, 45, berkata, dia secara kebetulan melalui jalan terbabit dan melihat kemalangan melibatkan motosikal dan kereta tersebut.
Menurutnya, dia tidak berhenti dan meneruskan perjalanan pulang ke rumahnya di Tanjung Musang, Pokok Sena seperti biasa.
"Hanya selepas dua jam kejadian itu, saya terkejut apabila dapat tahu dari ibu saudara bahawa adik perempuan dan adik ipar maut dalam kemalangan.
"Kemudiannya, barulah saya sedar kemalangan yang saya lihat tadi rupa-rupanya adik dan ipar sendiri," katanya kepada pemberita ketika ditemui Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, pada Jumaat.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tiga maut termasuk sepasang suami isteri dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Alor Pudak-Titi Haji Idris, di sini, pada malam Khamis.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, mangsa yang maut dalam kemalangan berusia 14, 34 dan 52 tahun.
Menurutnya, dia berjumpa kali terakhir dengan adik perempuannya pada minggu lepas ketika majlis kesyukuran ibu mereka.
"Saya tidak menyangka akan menerima khabar sedih pemergian mereka sekelip mata.
"Saya dapat tahu Noriza dan adik ipar dalam perjalanan pulang dari menghadiri kenduri di Sungai Tok Pawang,Gurun sebelum terbabit dalam kemalangan itu," katanya.
Kasuadinata berkata, dia kasihan dengan nasib empat anak saudaranya, sekali gus berjanji akan menjaga mereka dengan baik walaupun hanya bekerja membaiki paip.
Menurutnya lagi, adik perempuannya mempunyai empat anak termasuklah dua kembar dikenali sebagai Cinta dan Qaseh berusia setahun lebih hasil perkongsian hidup dengan Marzlan manakala dua lagi dengan suami terdahulu.
"Saya ada anak sendiri, namun sedia untuk ambil alih tanggungjawab jaga mereka," katanya.

Sementara itu,seorang remaja, Muhammad Adam Awang Saidin,14, berkata, dia tidak menyangka perubahan sikap adik kembarnya sejak beberapa hari lepas merupakan petanda dia akan pergi selama-lamanya.
Menurutnya, Muhammad Aidil yang merupakan anak bongsu dari lima beradik dilihat lebih berselera dan makan lebih banyak berbanding kebiasaannya.
Katanya, dia sememangnya amat rapat dengan kembarnya walaupun belajar di sekolah berbeza, sekali gus merasakan pemergian Aidil adalah satu kehilangan besar buat dirinya.
"Malah, saya berasa kesal kerana mengajak adiknya untuk keluar bersiar-siar sementara menunggu baju yang dicuci di dobi siap, sedangkan Aidil pada mulanya telah menolak," katanya.
Menurutnya, dia amat sedih dengan kejadian berlaku namun redha dengan pemergian adik kembarnya mengadap Ilahi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

