X

Kindly register in order to view this article
!

Taktikal Arteta buahkan hasil

Mikel Arteta
A
A

PENYERANG Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang mengakui The Gunners beraksi hambar pada babak pertama sebelum bangkit menumbangkan Newcastle United 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates awal pagi tadi.

Menurutnya, para pemain gagal menemui rentak permainan dalam separuh masa pertama dan perubahan taktikal yang dilakukan pengendali pasukan, Mikel Arteta pada separuh masa kedua membuahkan hasil buat The Gunners.

"Pada babak pertama kami agak buntu untuk mencipta gerakan dan juga serangan dengan Newcastle berjaya membaca corak permainan kami.

"Di bilik persalinan kami telah berbincang dengan Arteta dan beliau menukar sedikit taktikal di bahagian serangan dan hasilnya kami berjaya menjaringkan gol pada babak kedua.

"Kami juga berjaya bermain dengan pantas dan lebih bertenaga berbanding pada separuh masa pertama," katanya.

Dalam perlawanan itu, Nicolas Pepe meledak dua gol pada minit ke-54 dan 57, Mesut Ozil (90), dan Alexandre Lacazette (95).

Arsenal juga cukup berbahaya di hadapan pintu gol lawan dengan membuat 15 percubaan dengan tujuh daripadanya tepat ke sasaran.

Dalam pada itu, Aubameyang turut menegaskan para pemain sudah boleh menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan Arteta selepas pengendali berusia 37 tahun itu mengambil alih pasukan pada Disember lalu.

"Kami sudah boleh memahami apa yang dimahukan Arteta. Dibawah kendaliannya, kami lebih bermotivasi dan saya percaya pasukan akan mampu menjadi lebih bagus selepas ini," katanya.

Kemenangan tersebut juga menyaksikan Arsenal kini berada di kedudukan ke-10 liga dengan 34 mata daripada 26 perlawanan.