Cinta harta tidak salah tapi perlu dapat berkat

Ahmad Shukri
Ahmad Shukri
A
A
A

ISLAM meletakkan harta sebagai satu daripada keperluan dalam kehidupan manusia namun perlu diketahui sumber dan cara menguruskannya.

Lumrah manusia untuk sayang kepada hartanya kerana memberikan kehidupan yang selesa dan dihormati. Bagaimanapun harta itu adalah satu bentuk pinjaman yang perlu diuruskan dengan amanah.

Ia tidak boleh digunakan secara sesuka hati dan perlu mengikut garis panduan kerana harta yang kekal itu milik ALLAH SWT.

Ikuti wawancara Wartawan Sinar Harian, Norafiza Jaafar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pengutusan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff yang berkongsi mengenai harta dan cara pengurusannya.

Apakah pandangan mengenai umat Islam yang berlumba-lumba mencari harta sehingga mendatangkan keburukan kepada orang lain?

AHMAD SHUKRI: Islam tidak pernah melarang umatnya mencari kekayaan tetapi tidaklah sehingga akhirat itu dilupakan. Ini kerana, terlalu kasih dengan hal keduniaan boleh menjejaskan hubungan kita dengan ALLAH SWT.

Orang yang bijak adalah mereka yang memanfaatkan harta ke arah keberkatan sebagai tanda kesyukuran kita kepada ALLAH SWT.

“Wahai orang yang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu daripada mengingati ALLAH. Sesiapa yang berbuat demikian, maka mereka itulah orang yang rugi”, Surah Al-Munafiqun ayat 9.

Artikel Berkaitan:

Apakah tanggungjawab umat Islam terhadap harta?

AHMAD SHUKRI: Sebagai pemegang amanah terhadap harta yang dipinjamkan ALLAH SWT, kita bertanggungjawab menggunakan harta tersebut ke jalan-NYA, wajib memastikan harta itu dizakatkan jika melebihi nisab dan tidak lupa untuk bersedekah.

Pada masa sama, jangan sesekali lupa memberikan nafkah kepada mereka yang berhak seperti isteri, anak dan ibu bapa.

Janganlah harta itu melalaikan kita sampai lupa mengingati ALLAH SWT. Mesti ada elemen kesyukuran dan penyataan syukur itu dengan sebahagian harta itu diberi kepada mereka yang memerlukan.

Janganlah hanya kita menikmati kesenangan itu tetapi lupa akan nasib orang miskin dan lain-lain.

Fungsi harta dalam Islam itu adalah untuk kita menyempurnakan ibadah wajib, meningkatkan keimanan kepada ALLAH SWT, mengembang dan menegakkan ilmu dan mengeratkan silaturahim.

“Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta musafir hak masing-masing. Janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau”, Surah Al-Israa ayat 17.

Apakah aspek keberkatan harta melalui berzakat?

AHMAD SHUKRI: ALLAH SWT menjanjikan berzakat itu tidak akan mengurangkan harta seseorang, malah akan menambah keberkatan dan kesuburan harta pemiliknya.

Jangan anggap zakat itu satu beban kerana zakat hanya diwajibkan kepada mereka yang mempunyai kelayakan. Kita patut rasa syukur jika kita insan terpilih untuk membayar zakat. Jumlahnya tak penting biarlah ikut kemampuan kita.

Umat Islam perlu yakin, dengan menzakatkan hanya 2.5 peratus harta kita ke jalan ALLAH SWT, pasti akan mendapat pulangan yang baik.

Antara senarai harta yang perlu dizakatkan adalah zakat pendapatan, perniagaan, wang simpanan, KWSP, emas, perak dan saham dengan nisab zakat tahun 2020 adalah RM15,762 atau 85 gram emas.

Apakah saranan kepada umum untuk menunaikan kewajipan berzakat bersama PPZ-MAIWP?

AHMAD SHUKRI: Mereka yang masih keliru dengan kiraan dan kelayakan berzakat boleh bertemu dengan pegawai PPZ-MAIWP di 10 cawangan sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan atau hubungi talian zakat kami di 1-300-88 -5757.

Terdapat juga kemudahan untuk pembayaran zakat antaranya Skim Potongan Zakat Bulanan (PZB), portal PPZ-MAIWP (www.zakat.com.my) dan kaunter zakat bergerak.