Lang Menyosong Angin tanjak terbesar di dunia

Nazri menunjukkan rekaan tanjak Dendam Tak Sudah yang dipakai Yang di-Pertuan Agong. - Foto Zahid Izzani
Nazri menunjukkan rekaan tanjak Dendam Tak Sudah yang dipakai Yang di-Pertuan Agong. - Foto Zahid Izzani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 15 sukarelawan Persatuan Bentan Malaysia melakar sejarah tersendiri dengan menghasilkan tanjak 'gergasi' hanya dalam tempoh tiga jam.

Tanjak Lang Menyosong Angin itu dihasilkan dengan menggunakan kain broked dengan ketinggian hampir 3.7 meter.

Difahamkan, tanjak terbesar di dunia itu kini dipamerkan di Istana Budaya bermula pada 11 Januari lalu sehingga 11 Mac ini bagi membolehkan pengunjung dalam dan luar negara melihat dengan lebih dekat perhiasan kepala masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.

Selain tanjak gergasi, terdapat 12 jenis tanjak dari negeri-negeri lain turut ditontonkan sepanjang pameran tersebut.

Tanjak gergasi menjadi tarikan di pameran berkenaan. - Foto Zahid Izzani
Tanjak gergasi menjadi tarikan di pameran berkenaan. - Foto Zahid Izzani

Presiden Persatuan Bentan Malaysia, Datuk Nazri Kamal Al-Bentan berkata, pada peringkat permulaan pihaknya bercadang untuk menghasilkan tanjak dengan saiz lebih besar, namun sukarelawan terlibat berdepan kekangan ruang terhad di tapak pameran terlibat.

"Sukarelawan ini berjaya menyiapkan tanjak besar ini dengan menggunakan kain broked dalam tempoh tiga jam dan keesokan harinya, kami kembali untuk tambah baik bagi memastikan kesempurnaannya.

"Kami juga memilih untuk membuat rekaan tanjak gergasi Lang Menyosong Angin yang berasal dari Pahang berikutan ia digunakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shahi," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain Lang Menyosong Angin, antara tanjak lain yang dipamerkan ialah Setanjak Balung Raja, Putra Julang Darjat, Dendam Tak Sudah, Destar Solok Timbo dan Destar Dendam Tak Sudah.

"Pameran ini bukan sahaja memberi pendedahan mengenai tradisi tanjak kepada orang ramai malah turut mempromosikan negara bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

"Jadi orang ramai yang datang ke pameran ini akan mendapat maklumat lengkap mengenai sejarah pemakaian tanjak," katanya.

Katanya, selepas dipamerkan dalam tempoh tiga bulan kepada orang awam, kain tanjak berkenaan akan dipotong dengan saiz 1 meter untuk dihasilkan tanjak biasa.

"Tanjak-tanjak ini juga akan diinfak kepada anak yatim dan asnaf secara percuma selepas ini dan pemberian tanjak dibuat pada musim perayaan sebab kita mahu memberi kegembiraan kepada mereka di samping mengangkat warisan Melayu," katanya.

Nazri menunjukkan Destar Dendam Tak Sudah. - Foto Zahid Izzani
Nazri menunjukkan Destar Dendam Tak Sudah. - Foto Zahid Izzani

Dalam pada itu, Nazri berkata, Persatuan Bentan Malaysia juga pernah menganjurkan bengkel ikatan tanjak di Singapura, Johor, Seremban dan beberapa lokasi lain sebelum ini.

"Tanjak diiktiraf sebagai warisan kebangsaan pada tahun 2012 lalu dan disebabkan itulah saya berminat untuk memperkenalkannya kepada anak muda selain itu kita juga beri pendedahan mengenai cara ikatan samping tradisional," katanya.

"Saya gembira dengan perkembangan pemakaian tanjak yang semakin menjadi trend dalam kalangan anak muda kerana ia dilihat menjadi penerus kepada warisan negara.

Bagaimanapun, Nazri berharap setiap pihak mendapatkan pemahaman sewajarnya mengenai adab pemakaian tanjak.

"Tanjak adalah warisan. Sebagai contoh, tanjak Dendam Tak Sudah tidak boleh dipakai oleh orang biasa.

Destar Dendam Tak Sudah yang tidak boleh dipakai oleh orang biasa turut dipamerkan kepada orang ramai. - Foto Zahid Izzani
Destar Dendam Tak Sudah yang tidak boleh dipakai oleh orang biasa turut dipamerkan kepada orang ramai. - Foto Zahid Izzani

"Walaupun tiada undang-undang boleh disabitkan ke atas pemakainya, namun bagi adat dan tradisi kita orang biasa tak boleh pakai tanjak itu," katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya tanjak yang boleh dipakai orang ramai dikenali sebagai tanjak Kreasi.

"Disebabkan itulah orang ramai perlu memahami dahulu jenis-jenis tanjak sebelum memakainya," katanya.