PM Iraq ikrar tubuhkan barisan Kabinet ‘bebas'

Mohammed Allawi
Mohammed Allawi
A
A
A

BAGHDAD - Perdana Menteri baharu Iraq, Mohammed Allawi semalam memaklumkan beliau akan mengemukakan nama barisan Kabinet untuk proses undian di Parlimen dalam tempoh beberapa hari lagi.

Beliau turut memberi jaminan, anggota Kabinet pada kali ini adalah terdiri daripada ‘calon bebas’ menepati permintaan utama ulama berpengaruh, Moqtada al-Sadr.

“Kita menghampiri pencapaian bersejarah, melengkapkan sebuah Kabinet bebas yang kompeten, tidak memihak atau tanpa campur tangan mana-mana parti politik. Saya berharap Parlimen akan memberi respons dan mengundi untuk melaksanakan permintaan rakyat,” katanya menerusi Twitter.

Difahamkan, beliau diberi tempoh sehingga 2 Mac depan untuk mencadangkan nama menteri yang akan membarisi Parlimen.

Bekas Menteri Komunikasi itu dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1 Februari lalu untuk menggantikan Adel Abdel Mahdi dan pelantikannya turut mencetuskan protes dalam kalangan penunjuk perasaan.

Sejak Oktober lalu, Baghdad dan wilayah selatan negara itu telah dilanda siri demonstrasi antikerajaan yang telah meragut lebih 500 nyawa manakala ribuan lagi cedera. - Agensi

Artikel Berkaitan: