MPV di tengah sawah tiada kaitan perkara mistik

Paparan video dimuat naik di Twitter menarik perhatian netizen.
Paparan video dimuat naik di Twitter menarik perhatian netizen.
A
A
A

JAWA TIMUR - Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berada di tengah sawah, namun tidak merosakkan tanaman padi mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan netizen di sini.

Ia berikutan kenderaan itu ditemui pada Selasa lalu, namun tiada pemilik yang menuntutnya.

Malahan video rakaman 50 saat dikongsi di Twitter milik @YudiAbdulRohim membuatkan netizen mempercayai ia dikaitkan dengan perkara misteri.

Status entri itu menjelaskan kenderaan itu berada di tengah sawah, namun menghairankan ia tidak merosakkan tumbuhan padi di sekitarnya.

Ada yang tertanya-tanya mengapa padi di sekelilingnya tidak rosak, malah tiada kesan kenderaan di kawasan tersebut.

Bagi menjelaskan kemusykilan itu, pegawai polis daerah Madiun, Bripka Bongi Widayanto mengesahkan kenderaan yang berada di sawah itu akibat kemalangan jalan raya, lapor Kompas.

Bripka Bongi menegaskan, kereta itu boleh berada di tengah-tengah sawah bukan kerana perkara mistik atau pelik tetapi terlibat dalam kemalangan.

"Mengenai video tular di Facebook semalam, ia adalah satu kemalangan," kata Bongi ketika dihubungi Kompas.com semalam.

Artikel Berkaitan:

Bongi berkata, kejadian itu berlaku di kampung Sidorejo, Madiun, Jawa Timur pada Sabtu pada jam 1 petang.

"Kronologi peristiwa, kenderaan itu dari utara ke selatan. Tiba di tempat kejadian pemandu membelok, namun hilang kawalan hingga mengakibatkan pemandu tertekan minyak lalu 'terbang' ke sawah.

"Bagaimanapun pemandu tidak alami kecederaan dan ketika kejadian dia bersendirian," katanya.