Malaysia, Vietnam kongsi kepakaran manfaat sumber laut
PUTRAJAYA - Satu Jawatankuasa Kabinet akan ditubuhkan bagi mencari kaedah terbaik antara Malaysia dan Vietnam untuk berkongsi kepakaran serta memanfaatkan sumber laut di kedua-dua perairan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan secara dasar itu dicapai susulan pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam ketika lawatannya ke Malaysia, baru-baru ini.
Menurutnya, jawatankuasa tersebut akan dianggotai oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi berkaitan selain Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Secara prinsipnya, kita hendak mencari kaedah dan model yang terbaik untuk membolehkan kedua-dua negara berkongsi kepakaran, pengalaman, teknologi tangkapan ikan laut dalam serta menyertai operasi bersama bagi membolehkan keuntungan itu dirasai oleh kedua-dua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan bersama warga KDN di sini pada Khamis.
Jelas Saifuddin, perjanjian antara Maghribi dan Kesatuan Eropah (EU) boleh dijadikan contoh konsep berkenaan.
“Melalui tandatangan (perjanjian) ini, Sepanyol yang juga negara anggota EU dapat mengusaha hasil laut di kawasan perairan laut milik Maghribi.
“Jadi konsep menang-menang,” ujar beliau.
Sementara itu, dalam ucapan, beliau menggesa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk terus meningkatkan kompetensi anggota dengan memperkukuhkan jaringan antarabangsa.
Katanya, keupayaan aset Maritim Malaysia akan diperbaiki agar keselamatan dan kedaulatan sempadan laut negara sentiasa dilindungi.
Selaku agensi yang memainkan peranan penting dalam mengawal kawasan perairan Malaysia yang hampir mencecah 590,000 kilometer persegi, beliau berkata, Maritim Malaysia berdepan dengan pelbagai ancaman termasuk kegiatan penyeludupan, pendatang tanpa izin serta pencerobohan kapal asing.
“Sifat dan tugas Maritim Malaysia begitu kompleks dan kekuatan 5,400 anggota harus sentiasa dipertingkatkan kompetensi,” katanya.
Tambah beliau, kementeriannya sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan aset Maritim Malaysia termasuk memantau status kemajuan pembinaan dua buah lagi Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV).
“Saya juga minta untuk Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Awang Alik Jeman untuk memantau status kemajuan projek yang dijangka siap dua tahun lagi,” katanya.
Saifuddin memberitahu, Maritim Malaysia akan turut menerima empat unit helikopter dalam tempoh dua tahun apabila Lembaga Perolehan membuat keputusan muktamad.
“Kita juga telah bersetuju untuk menerima tawaran daripada Amerika Syarikat (AS) iaitu menerima satu unit kapal yang memerlukan kita menambah AS$10 juta (RM44.4 juta) bagi membolehkan transformasi dilakukan mengikut kesesuaian penggunaan negara ini.
“Kita setuju tawaran AS dengan implikasi kewangan sedikit berbanding jika membangunkan satu kapal baharu yang mencecah ratusan juta perbelanjaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!