Pelajar maut dirempuh kereta terbabas elak babi

Keadaan kereta Perodua Myvi dan motosikal yang terlibat kemalangan mengakibatkan seorang pelajar maut di Jalan Utama Jenderak Selatan dekat Kuala Krau di sini semalam.
Keadaan kereta Perodua Myvi dan motosikal yang terlibat kemalangan mengakibatkan seorang pelajar maut di Jalan Utama Jenderak Selatan dekat Kuala Krau di sini semalam.
A
A
A

TEMERLOH - Seorang pelajar maut manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta yang terbabas dipercayai mengelak babi melintas jalan di Jalan Utama Jenderak Selatan dekat Kuala Krau di sini semalam.

Dalam kejadian kira- kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Nor Atiqah Sulaiman, 16, yang juga pelajar pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krau meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini kira-kira jam 8.35 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, ketika kejadian mangsa yang maut membonceng motosikal jenis Yamaha LC ditunggang rakan sekolahnya, Nur Syakila Khalid, 17.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang guru lelaki berusia 34 tahun dari arah Jenderak Selatan menuju Pekan Kuala Krau.

"Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai seekor babi melintas dari kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu kereta mengelak ke kanan dan masuk ke laluan bertentangan.

"Semasa masih di laluan bertentangan, tiba-tiba datang sebuah motosikal yang dinaiki kedua mangsa dari arah Pekan Kuala Krau menyebabkan pemandu kereta itu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan motosikal berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, motosikal terbabit kemudiannya hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik di sebelah kiri jalan menghala ke Pekan Kuala Krau.

"Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal tercampak ke hadapan manakala pemboncengnya, Nor Atiqah jatuh bersama motosikal berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian menyebabkan pemandu kereta mengalami luka pada jari kanan dan kepala manakala Nur Syakila patah kaki kiri dan Nor Atiqah cedera di kepala dan perut serta patah tulang pinggul.

"Mangsa dibawa ke Hoshas untuk rawatan selanjutnya namun pada jam 9.20 malam tadi kita dimaklumkan pembonceng motosikal meninggal dunia pada jam 8.35 malam," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.