X

Kindly register in order to view this article
!

'Nelayan asing tak endah walau kami lambai minta tolong'

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Terengganu, Komander Maritim Ariffin Ghazali (kanan) bertanya khabar Azwan (kiri) dan rakan-rakan yang diselamatkan sejurus tiba di jeti APMM Terengganu, di Pulau Kambing, di sini, malam tadi.
A
A

KUALA TERENGGANU- Kami hanya terserempak dengan bot nelayan asing, tetapi setiap kali minta tolong, mereka langsung tidak layan, demikian cerita Azwan Yusof, 36, salah seorang daripada empat nelayan yang ditemukan selamat setelah seminggu dilaporkan hilang, petang semalam.

Azwan yang juga tekong bot berkata, meskipun lambaian tangan mereka untuk meminta bantuan tidak diendahkan oleh nelayan asing, tetapi mereka yakin anggota daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pasti akan datang membantu mereka.

Tekong, Azwan
Tekong, Azwan

"Kami golongan nelayan memang selama ini mempercayai kecekapan APMM dan setiap kali berdepan dengan masalah di laut sebelum ini pun, memang kami akan mencari mereka untuk mendapatkan pertolongan.

"Disebabkan itulah, sepanjang seminggu dihanyutkan, kami tetap menaruh kepercayaan kepada mereka dan yakin APMM akan datang menyelamatkan kami.

"Walaupun dalam masa sama, kami sangat takut dan perasaan itu hanya Tuhan yang tahu," katanya ketika ditemui di Jeti APMM Terengganu di Pulau Kambing, di sini, malam tadi.

Menceritakan kejadian, Azwan yang sudah empat tahun berpengalaman sebagai nelayan berkata, pada Jumaat lalu, dia bersama tiga lagi rakannya turun ke laut seawal jam 6 pagi dan setibanya di lokasi dituju, enjin bot terus dimatikan.

"Bagaimanapun, selepas itu, saya cuba menghidupkan enjin bot tetapi gagal. Pelbagai usaha kami lakukan tetapi masih tidak berjaya sebelum bot kami hanyut. Pada hari pertama dan kedua kami hanyut, tidak lah begitu bimbang tetapi masuk hari ketiga sehingga hari ini, kami mula takut kerana keadaan angin yang kuat dan ombak bergelora.

"Sepanjang waktu itu hanya Tuhan yang tahu perasaan kami ditambah pula dengan bekalan makan yang habis," katanya.

Amri
Amri

Sementara itu, Mohd Amri Yusoh, 32, adik kepada Azwan berkata, dia mengambil keputusan melaporkan kehilangan abang dan kawan-kawannya kepada pihak APMM selepas lima hari terputus hubungan dengan mereka.

"Kebiasaannya kalau abang turun ke laut, hari keempat dia akan balik semula, jadi kami tidaklah begitu bimbang tetapi apabila masuk hari kelima, dia masih tidak balik, saya merasakan ada sesuatu yang tak kena.

"Lebih merisaukan apabila kawan-kawan abang beritahu, mereka tidak nampak bot abang sepanjang tempoh itu lalu saya mengajak majikannya ke pejabat APMM membuat laporan kehilangan kira-kira jam 10 malam, Rabu lepas," katanya.

Mohd Amri berkata, dia mengetahui mereka berempat selamat ditemukan selepas menerima panggilan daripada abangnya sendiri memaklumkan yang dalam perjalanan balik bersama APMM.

Semalam, Sinar Harian melaporkan empat nelayan dari Kampung Losong, di sini diselamatkan APMM Terengganu selepas dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.

Azwan Yusof, 36, Walik Hafizul Walek @ Raffa, 35, Hanafi Nasrizal Hamtha, 26, dan Mohd Faizan Musa, 29 ditemui di kedudukan 55 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu, pada jam 5.15 petang, semalam.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf