'Kematian arwah titik tolak betulkan undang-undang'

Borhan berkongsi kenangan anak kesayangannya, Zulfakkar.
Borhan berkongsi kenangan anak kesayangannya, Zulfakkar.
A
A
A

SHAH ALAM - Bapa kepada salah seorang mangsa kemalangan angkara pemandu didakwa mabuk, Borhan Madon, 65, bersetuju dengan cadangan yang disuarakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong untuk menaikkan tempoh hukuman penjara kepada 20 tahun.

Menurut Borhan, andai hukuman itu menjadi kenyataan, dia merelakan pemergian arwah anaknya, Muhammad Zulfakkar, 29, menjadi pencetus kepada berubahnya undang-undang berkaitan pemandu mabuk.

“Alhamdulillah, syukur kalau ia menjadi kenyataan. Biarlah arwah Muhammad Zulfakkar menjadi titik tolak bagi memperbetulkan undang-undang negara bagi menghukum pemandu-pemandu yang mabuk.

“Mereka gembira dan berfoya-foya, orang yang tidak bersalah pula yang menjadi mangsa korbannya, itu kan tidak adil,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi semalam.

Borhan kehilangan anaknya angkara dilanggar pemandu dipercayai mabuk dalam nahas di Klang bulan lalu.

Sementara itu, Pakar keselamatan jalan raya dan ahli keluarga mangsa menyambut baik cadangan kerajaan yang bersetuju untuk mengenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun ke atas pemandu mabuk yang disabitkan dengan kesalahan kemalangan maut.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak berkata, hukuman 20 tahun yang sudah dipersetujui di peringkat jemaah menteri itu satu langkah baik untuk meningkat kesedaran dalam kalangan masyarakat dan membela nasib mangsa.

Katanya, undang-undang maksimum itu mampu mengelakkan berulangnya tragedi nyawa yang tidak berdosa melayang di atas jalan raya disebabkan pemandu mabuk.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan jangan pandang isu ini sebelah mata. Letakkan isu ini sebagai antara isu yang perlu ada jalan penyelesaian segera.

“Jangan tunggu ada nyawa lain yang melayang, baru kerajaan nak ambil langkah segera,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Laporan khas Sinar Harian kelmarin melaporkan gesaan pelbagai pihak yang meminta hukuman lebih berat ke atas pemandu mabuk yang ‘menggila’ di jalan raya termasuk hukuman penjara 20 tahun dan menggantung lesen memandu seumur hidup.

Halim Ishak
Halim Ishak

Dalam reaksi segera semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong berkata, secara prinsipnya kerajaan sudah bersetuju untuk menaikkan tempoh hukuman penjara pemandu mabuk kepada 20 tahun.

Dalam pada itu, Halim berkata, selain hukuman, kerajaan juga perlu memperhebatkan kempen bahayanya memandu dalam keadaan mabuk.

“Semua orang perlu tahu bahawa memandu di bawah pengaruh alkohol akan menyebabkan pemandu hilang konsentrasi, mengurangkan waktu reaksi, mengganggu keseimbangan diri dan sukar membuat keputusan dari segi kelajuan kenderaan,” katanya.

Undang-undang memperuntukkan individu memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987, hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, mengikut Seksyen 44 (1), pesalah boleh dikenakan hukuman penjara antara tiga dan 10 tahun dan denda antara RM8,000 dan RM20,000.