Kita lupa tepi kain sendiri

A
A
A

PERIBAHASA Melayu yang diucapkan oleh bijak pandai orang tua-tua dahulu sememangnya sangat unik. Unik daripada bahasa dan pemilihan kata, objek atau sifat yang kadang-kadang membuatkan kita berfikir juga.

Contohnya, saya ada terbaca yang ditulis dalam surat khabar Sinar Harian berkenaan Pemuda UMNO Kelantan yang memberitahu kepada Setiausaha Agung DAP untuk jaga tepi kain sendiri.

Kenapa digunakan kain untuk memberi maksud supaya tidak menyibuk hal orang lain. Kenapa tidak digunakan benda lain seperti kayu?

Mungkinkah kerana kain itu jika terlalu labuh dan melerek di lantai akan menyapu segala sampah atau tahi kucing akan melekat pula? Maka kotorlah kain itu nanti menyebabkan akan terpalit merata-rata?

Yang menariknya lagi ialah daripada peribahasa ini sebenarnya, boleh kita kaitkan dengan peribahasa lain pula. Peribahasa yang ada kesinambungan dengan peribahasa pertama tadi. Kerana kadang-kadang orang yang bercakap jaga tepi kain sendiri itupun mungkin juga boleh terpalit dengan peribahasa sambungan ini.

Kadang-kadang kain sendiripun tidak terjaga, maka terhasillah pula peribahasa yang lain yang sebenarnya ada pertalian dengan peribahasa tadi juga. Dua kali dua empat mungkin ada kesinambungan kepada maksud peribahasa yang pertama.

Kita mungkin memberitahu orang supaya menjaga tepi kain sendiri supaya tidak terkena tahi, tetapi pada masa yang sama kain kita pun meleret dan terpalit tahi. Maka bak kata peribahasa, dua kali dua empatlah juga.

Peribahasa ini sangat mudah sahaja untuk kita terjemahkan kenapa memakai nombor dua itu. Kerana, yang pertama mungkin juga, ikut belah mana pun kita darabkan nombor, sebutannya sama dan hasilnya sama.

Artikel Berkaitan:

Tetapi kita boleh menjadi bak peribahasa yang ketiga ini pula. Kita seolah-olah boleh membilang bintang di langit, tetapi tidak sedar di mukanya arang. Banyak terjadi juga kepada orang yang begini.

Membilang langit bukan senang. Kadang-kadang kita boleh terkeliru dan terpaksa membilang semula. Pertama kali membilangnya dapat jumlah yang lain. Kali keduanya dapat jumlah yang lain pula.

Sehinggakan tangan kita yang mungkin bersalut bekas arang di sapu ke muka. Lagipun ketika membilang bintang itu, kita mungkin juga sedang cuba menghidupkan api untuk bertanak memasak nasi pula.

Peribahasa

Agaknya begitulah akan terjemahan orang tua bijak pandai kita. Secara turutannya dalam mengkaji peribahasa berkait ini kita memberitahu orang supaya menjaga tepi kain sendiri, tetapi kita lupa secara matematiknya panjang kain tersebut mungkin sama labuhnya dengan kain kita juga.

Ukurannya mungkin dua kali dua juga, tetapi kita lupa mengiranya, kerana kita sibuk mengira bintang sehingga lupa yang muka kita telah bersalut arang pula. Begitulah peribahasa berkait orang tua dahulu kala.

Selalunya kita tidak sedar seperti kata peribahasa Melayu lama ini lagi iaitu suka menjadi udang yang mengata ikan pula.

Jadi bila masing-masing tidak sedar kadang-kadang lupa diri yang percakapan seperti itu menjadi sia-sia, akan menampakkan lagi kita ini suka mencampakkan baju untuk menampakkan kurap sendiri.

Tetapi ada sesetengah daripada kita tidak tahu malu juga. Walaupun sudah ternampak kurap sebesar duit lima puluh sen. Mereka tidak endahkan sahaja. Asalkan kurap yang digaru sedap, maka tidak dipedulinya juga.

Kesimpulannya yang berfokus kepada urutan peribahasa Melayu lama yang berkait, semuanya berkait ke atas diri sendiri kita.

Kerana diri kita ini kadang-kadang marah orang menjaga tepi kain kita, tetapi kita lupa, kadang-kadang kita dua kali dua empat juga, sebab kita suka membilang langit, tetapi lupa arang yang disapu ke muka, maka kita tidak peduli kerana kita ibarat udang yang cuba-cuba mengata ikan dan akhirnya kita lupa, baju yang kita campak sebenarnya mendedahkan kurap di badan kita sendiri.

*Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com