Penunggang motosikal maut bergesel dengan lori
GUA MUSANG - Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai bergesel dengan sebuah lori sehingga terbabas di Jalan Kilometer 63, Paloh-Lebir di sini pada Selasa.
Dalam kejadian jam 2.11 petang itu, mangsa yang berusia 33 tahun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Chiku 3.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis SM Sport yang ditunggangi mangsa dari arah Paloh ke Lebir telah bergesel dengan sebuah lori jenis Daihatsu dipandu seorang lelaki dan penumpang.
"Ketika sampai di lokasi kejadian, penunggang motosikal terbabit hendak melalui selekoh ke kiri jalan dan bergesel dengan lori yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat daripada kejadian itu motosikal terbabit terbabas dan jatuh ke bahu kiri jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ujarnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 09-9121222 atau 013-3010408.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!