Rasuah projek pembinaan di Sarawak, seorang lagi Datuk ditahan
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lagi suspek bergelar Datuk kerana disyaki terlibat rasuah sebagai balasan mendapatkan projek pembinaan di Sarawak bernilai RM250 juta.
Menurut sumber, suspek merupakan rakan kongsi kepada pengarah syarikat yang sebelum ini ditahan SPRM pada Khamis lalu.
Kata sumber, suspek berpakat dan berkomplot bagi membolehkan beberapa syarikat mendapat projek-projek pembinaan dikeluarkan pejabat kerja raya sebuah daerah di Sarawak.
Katanya, suspek telah ditahan jam 6.30 petang pada Isnin di sebuah daerah di Sarawak.
"Majistret Mason Jaro Lenya Barayan membenarkan suspek lelaki berusia lingkungan 50-an direman selama lima hari sehingga Ahad.
"Tahanan reman itu diperoleh selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuching pada hari ini," katanya pada Selasa.
Sumber berkata, mereka dipercayai telah melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga 2024, sebagai balasan mendapatkan projek-projek pembinaan yang bernilai kira-kira RM250 juta.
Sehingga hari ini, menurutnya, SPRM telah menahan tiga suspek termasuk seorang jurutera awam berhubung kes terlibat.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, beberapa tangkapan susulan kemungkinan akan dilakukan bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!