PKNS lahir lebih 20,000 usahawan pelajar
SHAH ALAM - Inisiatif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melaksanakan Program Tunas Niaga (PROTUNe) berjaya melahirkan lebih 20,000 pelajar sekolah yang berani menceburi bidang keusahawanan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, pelaksanaan PROTUNe juga membangkitkan minat anak muda dan belia terhadap industri perniagaan.
Menurut beliau, inisiatif PKNS yang turut mendapat sokongan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi mengurus dan melaksanakan program PROTUNe dengan cemerlang di negeri ini sejak tahun 1998.
"Saya percaya banyak usaha yang telah dijalankan oleh PKNS bagi menambahbaik program ini dari semasa ke semasa demi memperkasakan bidang keusahawanan di peringkat sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen PROTUNe di Dewan Aster, PKNS di sini pada Selasa.
Mohd Najwan memberitahu, kerajaan negeri menitikberatkan pemerkasaan sektor keusahawanan dan sentiasa menyokong penuh usaha-usaha untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda tempatan.
Beliau memberitahu, usaha membudayakan keusahawanan dalam kalangan pelajar di peringkat sekolah adalah bertujuan untuk membentuk sikap positif terhadap keusahawanan.
"Program PROTUNe sangat bertepatan dengan objektifnya iaitu memberi peluang kepada generasi muda terutamanya pelajar sekolah menengah untuk mengasah minat dan kemahiran dalam bidang keusahawanan.
"Ini selaras dengan matlamat menjadikan keusahawanan sebagai salah satu cabang kerjaya menarik dan relevan," jelas beliau.
Tambah Najwan, usahawan muda memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan ekonomi negara termasuk memperkasa ekonomi luar bandar dan membuka peluang pekerjaan baharu untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat.
"Salah satu impak positif yang saya lihat melalui PROTUNe ini adalah selain membimbing pelajar untuk memimpin sebuah syarikat, ia juga melatih mereka untuk mengukuhkan dan membina jati diri dengan menanamkan nilai-nilai seperti tanggungjawab, disiplin, kemahiran serta ciri-ciri penting seorang usahawan berjaya," kata beliau.
Mengulas mengenai majlis itu, Mohd Najwan berkata, konvokesyen yang diadakan itu mampu memberi inspirasi kepada peserta dengan menjadikan pengalaman berniaga di sekolah sebagai pemangkin untuk mereka melangkah ke dunia keusahawanan.
"Galakan seperti ini amat relevan pada waktunya kerana pencapaian yang cemerlang perlu diiktiraf untuk memastikan lebih ramai anak tempatan berjaya dalam bidang perniagaan pada masa hadapan," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!