Perak mahu menang Piala Unity Shield malam esok

Mehmed (kiri) dan Aidil Shahrin bersama memegang piala Unity Shield yang menjadi rebutan dua pasukan pada perlawanan yang dijadual berlangsung di Stadium Perak, esok.
Mehmed (kiri) dan Aidil Shahrin bersama memegang piala Unity Shield yang menjadi rebutan dua pasukan pada perlawanan yang dijadual berlangsung di Stadium Perak, esok.
A
A
A

PERAK meletakkan sasaran untuk memenangi Piala Unity Shield pada tahun ini selepas kecundang di tangan Kedah tahun lalu.

Ketua jurulatih Perak, Mehmed Durakovic berkata, perlawanan esok disifatkan penting sebagai salah satu persiapan untuk menguji pemain menjelang pembukaan Liga Malaysia nanti.

Menurutnya, pasukan Kedah bukanlah calang-calang pasukan dan Perak akan berdepan dengan pasukan yang bagus.

"Ini peluang untuk kita menang selepas tahun lalu tewas di Kedah kerana kali ini kita bermain di tempat sendiri.

"Kita harap penyokong akan datang beramai-ramai memberikan sokongan kepada kedua-dua pasukan kerana kita bersahabat.

"Kita sedar ia bukan sesuatu yang mudah kerana Kedah pasukan yang bagus," katanya ketika sidang akhbar sempena perlawanan Unity Shield di Stadium Perak, hari ini.

Sementara itu, Durakovic berkata, persiapan pasukannya setakat ini pada tahap terbaik selepas pulang dari siri persahabatan di Singapura walaupun dua penjaga gol iaitu Hafizul Hakim dan Khairul Amri berdepan masalah kecederaan.

Katanya, pada perlawanan persahabatan sebelum ini, semua pemain belajar untuk mengenali antara satu sama lain dan mendapatkan keserasian.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pengendali Kedah, Aidil Shahrin Sahak berkata, kemenangan tahun lalu bukanlah satu keselesaan buat pasukannya.

Beliau berkata, perlawanan pada malam esok tetap dianggap penting walaupun ia sekadar perlawanan persahabatan.

"Semua pasukan mahu menang tetapi perkara paling penting adalah memastikan tiada pemain berdepan kecederaan kerana kita akan berdepan musim yang panjang selepas ini," katanya.

Hadir sama pada sidang media tersebut, Kapten Perak, Shahrul Saad dan pemain import Kedah Tchetche Kipre.

Perlawanan Unity Shield dijadual berlangsung esok jam 9 malam di Stadium Perak, di sini.