PAC bentang Laporan Tindakan Susulan buat kali pertama di Dewan Rakyat

PAC pada Isnin membentangkan Laporan Tindakan Susulan buat kali pertama di Dewan Rakyat.
PAC pada Isnin membentangkan Laporan Tindakan Susulan buat kali pertama di Dewan Rakyat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Isnin membentangkan Laporan Tindakan Susulan buat kali pertama di Dewan Rakyat.

Laporan Tindakan Susulan itu berkaitan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) bagi syor-syor laporan jawatankuasa berkenaan berhubung Pengurusan Dana Latihan dan Keberkesanan Program Latihan HRD Corp.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mewakili pengerusi PAC ketika membentangkan laporan itu berkata, PAC membentangkan dua laporan penuh sebelum ini, manakala Laporan Tindakan Susulan adalah laporan mengenai maklum balas dan tindakan susulan diambil kementerian terhadap syor-syor PAC.

"Jadi, untuk setiap satu isu yang disiasat PAC, jawatankuasa ini akan membentangkan dua laporan bagi memastikan rakyat mengetahui isu yang disiasat oleh jawatankuasa ini," katanya.

Dalam pada itu, Tze Tzin berkata, PAC mahu Kesuma segera melaksanakan kajian mengenai pertukaran status HRD Corp daripada Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) kepada Badan Berkanun Persekutuan.

Beliau berkata, ini dengan melihat dan merujuk kepada model-model yang terbaik seperti PERKESO yang juga merupakan badan berkanun di bawah seliaan Kesuma.

Selain itu, Tze Tzin berkata, khusus bagi HRD Corp, PAC juga telah mengesyorkan supaya jawatan Pegawai Undang-Undang dan Setiausaha Syarikat haruslah individu berlainan untuk memastikan tanggungjawab berkaitan dapat dijalankan dengan sebaiknya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!