'Kalau tipu, dia masuk neraka' - Speaker Dewan Rakyat

Kekecohan yang berlaku pada sesi petang sidang Dewan Rakyat pada Rabu.
Kekecohan yang berlaku pada sesi petang sidang Dewan Rakyat pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat pada sesi petang Rabu kecoh apabila salah seorang ahli Parlimen kerajaan tidak berpuas hati dengan perkataan yang digunakan oleh Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut).

Chong Zhemin (PH-Kampar) berkata, Che Mohamad Zulkifly telah melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 36 (6) iaitu tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas mana-mana ahli lain.

“Tadi saya dengar (Ahli Parlimen) Besut ada sebut perkataan kurang ajar. Saya minta dia tarik balik sebab petua (ketetapan) sudah dibuat. Besut, tarik balik.

“Saya dengar (perkataan) kurang ajar, saya nak masukkan dalam hansard. Saya minta Besut tarik balik sebab Speaker (sebelum ini) sudah buat petua tidak boleh sebut perkataan kurang ajar dalam dewan,” tegasnya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudiannya menyatakan dia tidak mendengar perkataan seperti yang didakwa.

“Oleh kerana riuh-rendah dan hiruk-pikuk, saya tak dengar tadi. (Jadi) Saya nak tanya Besut, adakah Besut ungkapkan perkataan itu? Ya atau tidak?” soal Johari.

Zhemin yang masih tidak berpuas hati memberi amaran agar Che Mohamad Zulkifly tidak menipu.

“Kampar (Zhemin), biar saya yang kendali perkara ini. Kalau semua nak campur, sampai pukul 10 malam tak selesai ni. Saya nak tanya Besut, ya kata ya, tidak kata tidak. Itu sahaja. Jangan terang lanjut,” kata Johari.

Artikel Berkaitan:

Che Mohamad Zulkifly kemudiannya menjawab tidak.

Zhemin sekali lagi mengingatkan Ahli Parlimen Besut itu tidak berbohong dan beliau akan menyemak hansard iaitu penyata rasmi Dewan Rakyat untuk memastikan kebenaran dakwaannya.

“Saya dengar (perkataan kurang ajar yang didakwa),” sampuk RSN Rayer (PH-Jelutong).

“Kampar, yang mempengerusikan majlis ini adalah saya. Saya tak dengar, jadi saya tanya dia. Dia kata tak sebut. Kalau dia berbohong, dia masuk neraka.

“Jangan risau tentang itu. Kita jumpa di akhirat esok, Insya-ALLAH,” kata Johari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!