Terima notis tuntutan daripada Fazura, Fattah Amin serah pada peguam
![Fattah mengesahkan menerima notis tuntutan (LOD) daripada bekas isterinya, Nur Fazura berhubung kenyataan di mahkamah membabitkan isu kenderaan.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/12/09/2921834.jpg)
PELAKON dan penyanyi, Fattah Amin mengesahkan menerima notis tuntutan (LOD) daripada bekas isterinya, Nur Fazura berhubung kenyataan di mahkamah membabitkan isu kenderaan.
Ujar Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, notis berkenaan perkara itu sudah diserahkan kepada peguamnya dan LOD itu juga sudah dibalas dalam tempoh yang ditetapkan.
"Kes itu sudah diuruskan oleh peguam saya. Saya sudah beri kenyataan sebelum ini dan saya tidak mahu beri kenyataan apa-apa lagi.
"Saya terima LOD sebelum berlepas mengerjakan umrah tetapi saya kurang pasti tarikh sebenar. Setakat ini, itu sahaja yang saya boleh kongsikan," katanya yang enggan berkongsi kandungan LOD tersebut.
Fattah ditemui ketika majlis Sidang Media Entertainment yang berlangsung di restoran De. Wan 1958, Bangsar pada Isnin.
Sebelum ini, ketika sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 7 Oktober lalu, Fazura mendedahkan telah menghadiahkan Fattah sebuah kereta, bagaimanapun pelatun Wanita Terakhir itu menafikan dakwaan terbabit.
Bagaimanapun Fattah menafikan dakwaan itu dan memaklumkan kereta tersebut dibayar secara ansuran bulanan menerusi potongan gaji.
Sementara itu, ditanya hubungannya dengan bekas isteri, Fattah berkata, dia dan Fazura masih berhubung menerusi pembantu peribadi Fazura.
Malah, dia juga masih dapat berjumpa anak tunggalnya, Nur Fatima Aisya, 4, dan kali terakhir bertemu sebelum mengerjakan umrah baru-baru ini.
"Masih berhubungan menerusi pengurusnya dan balas. Itu sahaja saya boleh jawab," ujarnya ringkas.
Berkongsi kehidupannya kini, lelaki berusia 34 tahun itu memberitahu sentiasa cuba menyibukkan diri dan sekiranya ada masa terluang, dia lebih selesa menghabiskan masa di rumah.
"Boleh dikatakan tiada hari yang tiada kerja. Alhamdulillah masih ada ibu dan ayah bersama saya.
"Ketika menunaikan umrah baru-baru ini, saya sentiasa berdoa diberi kelancaran urusan di dunia dan mungkin itu yang membuatkan rezeki saya melimpah ruah," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!