Bekas peneroka nyaris rugi RM200,000 ditipu 'pegawai LHDN'

Gambar kecil:Ahsmon
Gambar kecil:Ahsmon
A
A
A

KOTA TINGGI- Seorang bekas peneroka nyaris kerugian RM200,00 apabila dia cuba diperdaya oleh individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, bekas peneroka berusia 60 tahun itu telah menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia dengan meminta mangsa membuat sejumlah bayaran berhubung tunggakan cukai dan akaun wang simpanan mangsa akan dibekukan oleh Bank Negara Malaysia jika dia gagal melunaskan tunggakan itu.

"Mangsa telah diminta membuat pemindahan wang simpanannya ke dalam akaun pihak ketiga yang diberikan oleh suspek serta diminta merahsiakan perkara tersebut konon kerana kes merupakan rahsia kerajaan. Bagaimanapun, sewaktu mangsa cuba mendepositkan wang RM 200,000 ke dalam akaun diminta suspek, pihak bank bertindak menghubungi polis dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi telah menyiasat mangsa.

"Pada mulanya mangsa memaklumkan tujuan deposit tersebut adalah untuk pembelian tanah tetapi akhirnya memberitahu bahawa dia menerima panggilan daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ahsmon berkata, sehubungan itu polis ingin menasihatkan orang ramai supaya membuat pengesahan dengan pihak polis sekiranya menerima panggilan yang meragukan.

Katanya, kes mangsa disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: