Polis Kelantan nafi berlaku letupan, gegaran di Machang

KOTA BHARU - Polis Kelantan menafikan dakwaan berlaku letupan dan gegaran di daerah Machang sebagaimana tular di laman sosial Facebook pada Sabtu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan mendapati tiada sebarang aktiviti yang menggunakan bahan letupan berlaku di kawasan berkenaan.
"Pada masa sama, polis turut mendapati tiada sebarang kejadian kebakaran dikesan berlaku.
"Oleh itu, kami (polis Kelantan) menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggusarkan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, sekitar jam 9.15 pagi, polis Kelantan telah mengesan beberapa komen di Facebook berkaitan letupan dan gegaran yang kuat telah berlaku di Machang.
Menurut maklumat seorang lelaki pada jam 1.30 pagi semasa berada di rumahnya di Kampung Kelaweh dia telah terdengar bunyi yang kuat di ruang udara dan dipercayai sebuah jet.
Isu tersebut kemudiannya tular dan menjadi perdebatan hangat dalam kalangan warganet.
Sebuah portal kemudian melaporkan berita berhubung dakwaan tersebut sebagaimana tular di laman sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

