Tajuddin buat kemunculan pertama selepas diterima kembali jadi ahli UMNO

KUALA LUMPUR - Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuat kemunculan pertama dan menghadiri Sambutan Jubli Emas Barisan Nasional (BN) ke-50 selepas diterima kembali sebagai ahli parti.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu sempat beramah mesra bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa kepimpinan tertinggi yang lain ketika konvensyen yang berlangsung di Dewan Tun Razak 4 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.
Beliau yang kelihatan segak memakai songkok dan berkaca mata dilihat tidak kekok berjumpa serta berbual mesra bersama ahli parti yang lain.
Sebelum ini, Tajuddin digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti antara lain berkait tempoh masa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Surat keputusan yang bertarikh 21 Jun 2022 juga tular di media sosial.
Berikutan penggantungan itu, bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dilaporkan mengemukakan rayuan sebanyak empat kali.
Susulan itu, Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 25 November lalu menarik balik penggantungan keahlian Tajuddin sebagai ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan sebulat suara itu dibuat selaras dengan Fasal 10.6 dan Fasal 5.3 Perlembagaan parti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
