BN perlu bangkit, bukan ‘tumpang’ kerajaan - Tajuddin
KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) perlu bangkit berusaha untuk meraih kembali kepercayaan rakyat dan bukan sekadar ‘menumpang’ dalam Kerajaan Perpaduan.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, beliau menunggu peluang untuk membantu parti itu untuk menang lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
“Saya harap UMNO akan bangkit semula. Saya tunggu peluang ini untuk membantu mana yang boleh untuk kebangkitan UMNO serta BN dan tengok macam mana kita boleh buat supaya orang ramai percaya dan yakin dengan parti.
“Mudah-mudahan PRU16 nanti kita boleh menang. Tak larat nak tumpang begini sahaja...ini tumpang namanya tapi nak buat macam mana. Kita ada kekuatan sendiri walaupun bersama tetapi bukan menumpang...ia berbeza.
“Kita nak bersuara dan suara kita dihormati. Kena bersuara lagi untuk berjuang dan teruskan perjuangan,” katanya ketika ditemui sempena Sambutan Jubli Emas BN di Dewan Tun Razak 4 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.
Ini merupakan kemunculan pertama bekas Ahli Parlimen Pasar Salak itu selepas Majlis Tertinggi (MT) UMNO menarik balik penggantungan keahlian Tajuddin sebagai ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta pada 25 November lalu.
Sebelum ini, Tajuddin digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti antara lain berkait tempoh masa PRU15.
Surat keputusan yang bertarikh 21 Jun 2022 juga tular di media sosial.
Berikutan penggantungan itu, bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dilaporkan mengemukakan rayuan sebanyak empat kali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!